Saya tidak mahu fikir – Piya

Kuala Lumpur: Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi tidak mahu mengendahkan dakwaan sesetengah pihak yang menganggap dia tidak bersikap patriotik untuk menyarung jersi kebangsaan susulan kegagalannya melaporkan diri bersama skuad kebangsaan.

Perancang tengah The Red Warriors berusia 31 tahun itu sebaliknya mahu memberikan tumpuan untuk memulihkan kecederaan hamstring yang dialaminya ketika selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Lions XII di Kota Bharu baru-baru ini.

“Saya tidak mahu fikir dan letak ke tepi dulu (dakwaan tidak patriotik). Saya kini hanya memikirkan kecederaan kerana saingan Piala Malaysia bakal bermula bulan depan,” kata pemain berusia 31 tahun itu yang membantu Kelantan meraih tiga piala musim lalu termasuk Piala Malaysia.

Bagaimanapun dia melaporkan diri bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM petang semalam mengakui sepatutnya menghadirkan diri ketika dipanggil berbuat demikian Khamis lalu.

“Kehadiran hari ini (semalam) adalah di atas inisiatif sendiri. Mungkin berlaku salah faham sebelum ini dan saya harap kehadiran saya (di Wisma FAM) akan menyelesaikan masalah yang berbangkit.

Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.

Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: “Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.

“Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.

“Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang,” kata Piya.

Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem latihan Harimau Malaya.

One Reply to “Saya tidak mahu fikir – Piya”

Comments are closed.