Saya mahu ke Real Madrid – Bale

London: Ketika bertemu dengan pengurusan Tottenham, hanya satu yang dipinta Gareth Bale iaitu: “Lepaskan saya. Saya mahu menyertai Real Madrid.”

Sebuah akhbar tabloid Britain yang mendedahkan cerita itu secara ekslusif mendakwa kelab gergasi Sepanyol itu ada membuat tawaran rasmi sebanyak £81 juta (RM399 juta) untuk mendapatkan pemain sayap Wales itu tetapi ditolak oleh Spurs.

Akhbar Sepanyol, Marca, yang mempunyai hubungan rapat kepada Madrid, mendakwa Bale berang apabila Spurs menolak tawaran itu sekalipun mengatasi bayaran dibuat Real kepada Manchester United untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo pada Julai 2009.

Bale, 24, berkata, apa yang dia faham ialah pengerusi Spurs, Daniel Levy penah berkata bahawa mereka sedia melepaskannya jika menerima tawaran lumayan.

Marca mendakwa Bale pernah memberitahu Levy: “Berjanjilah dengan saya. Jika kita tidak layak beraksi pada Liga Juara-Juara dan ada tawaran baik yang datang untuk membeli saya, anda perlu menimbangkan tawaran berkenaan.

“Sekarang tawaran itu sudah tiba dan saya mahu beraksi untuk Real Madrid. Jadi, berpeganglah pada janji anda dan adakan rundingan secara segera.” Bale ada berbincang dengan Levy dan berterus-terang mengatakan bahawa dia tidak lagi dapat melihat masa depannya di White Hart Lane.

Hubungan pemain dan ahli lembaga kelab begitu tegang apabila Madrid berterusan menggunakan kekuatan kewangan mereka untuk mendapatkan Bale.

Pengurus Spurs, Andre Villas- Boas (AVB) pernah membuat kenyataan menjelang perlawanan pra-musim menentang China Selatan mengenai kontrak pemain antarabangsa Wales itu masih sah hingga dua tahun lagi.