Rooney ditawar jawatan kapten

BANGKOK – Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui pasukannya akan mendapat sesuatu yang terbaik daripada penyerang The Red Devils, Wayne Rooney.

Bapa baharu Old Trafford itu optimis Rooney yang masih samar tentang masa depannya bersama kelab itu akan kekal dan dia merancang untuk memberi lilitan kapten kepadanya.

Bagaimanapun, Moyes tidak mahu situasi itu mengganggu persiapan United yang dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England musim baharu nanti.

Katanya, setakat ini masih belum ada perbincangan kontrak baharu bersama Rooney dan penyerang England berusia 27 tahun itu terlepas peluang dalam siri jelajah pra musim bersama United di Thailand.

Itu kerana Rooney telah mengalami kecederaan hamstring dan dihantar pulang selepas hanya beberapa jam dia tiba bersama pasukan itu di Thailand.

“Saya tidak berminat untuk hanya bercakap mengenai Rooney sepanjang masa dan terlalu menumpukan perhatian terhadapnya. Manchester United bukan hanya mengenai Wayne, Manchester United adalah sebuah pasukan bola sepak.

“Sekarang kami bercakap mengenainya dan sebenarnya apa yang saya tidak ingin berlaku adalah Wayne menjadi lebih penting daripada kelab dan pasukan ini,” tegas Moyes, 50.

Dalam pada itu, ramai menjangka United akan membiarkan Rooney memasuki tahun terakhir dalam kontraknya pada musim depan dan selepas itu baharu Moyes akan membuat sesuatu.

Moyes juga menegaskan bahawa Rooney lebih sesuai menggalas tugas selaku penyerang berbanding pemain tengah.

“Rooney boleh bermain selaku penyerang tunggal, dia juga mampu bermain di bawah sedikit. Pada pandangan saya, Wayne adalah jawapan terbaik jika Robin van Persie tercedera,” kata bekas pengurus Everton itu lagi. – Agensi