Revington teruskan khidmat

Kuala Lumpur: Teka-teki masa depan Paul Revington bersama skuad hoki negara akhirnya terjawab apabila beliau bersetuju meneruskan tugasnya sebagai ketua jurulatih sehingga kontraknya tamat tahun depan.

Pengendali berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu membuat keputusan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam.

Keputusan Revington itu sekali gus menepis khabar angin yang beliau mungkin tidak meneruskan khidmatnya.

Berita itu juga pasti menghadirkan khabar gembira buat pemain negara kerana mereka kini boleh meneruskan fokus untuk saingan Piala Asia di Ipoh bulan depan yang menawarkan satu tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

“Konfederasi Hoki Malaysia mengumumkan Revington akan meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan sehingga kontraknya tamat. MHC gembira dengan keputusannya dan berharap Revington akan dapat membimbing skuad hoki negara ke satu tahap lebih baik,” kata badan induk sukan itu dalam satu kenyataan semalam. [HMetro]