Revington buat keputusan minggu ini

KUALA LUMPUR – Skuad hoki kebangsaan tetap menjalani latihan seperti biasa bermula esok biarpun berhadapan apa jua keputusan daripada ketua jurulatih Paul Revington berhubung masa depannya yang bakal diketahui minggu ini.

Penolong jurulatih, Arul Selvaraj berkata, Revington akan berjumpa dengan pihak tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam masa terdekat untuk berbincang berhubung keputusannya sama ada ingin terus membimbing skuad kebangsaan atau sebaliknya.

Tambah Arul, latihan akan tetap diteruskan di bawah bimbingannya dan program persiapan menghadapi Piala Asia juga dijadual berjalan seperti dirancang.

“Hidup mesti diteruskan kerana kita akan menghadapi kejohanan yang penting iaitu Piala Asia di Ipoh, yang kini hanya tinggal sebulan sahaja lagi.

“Setakat ini saya tidak tahu apa keputusan yang akan dibuat oleh Revington, tetapi kami semua mengharapkan dia akan terus kekal bersama pasukan kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Awal bulan lalu, Revington membuat kejutan apabila meletak jawatan dengan mendakwa wujud campur tangan daripada jurulatih skuad remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan.

Bagaimanapun, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada hujung bulan lalu, Revington mengubah keputusannya untuk mengendalikan sementara skuad negara sehingga berakhirnya kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru yang berakhir minggu lepas.

Kini selepas menamatkan kejohanan di Johor Bahru di tempat kelima, Revington masih lagi membisu berhubung masa depannya bersama pasukan kebangsaan.

Sementara itu, Arul berkata, latihan yang bermula esok lebih tertumpu di gimnasium dan sedikit permainan hoki pada sebelah petang.

Arul memberitahu pasukan juga akan mengadakan lima siri perlawanan persahabatan di China pada Sabtu ini menentang pasukan kebangsaan negara itu sebagai persiapan menghadapi Piala Asia.

“Ketika bulan puasa ini hanya latihan ringan sahaja yang akan dilakukan, tambahan pula daripada 26 pemain, enam orang masih lagi berada di Rusia menyertai Sukan Universiti Dunia.

“Ini juga adalah latihan pertama skuad kebangsaan selepas pulang dari Johor Bahru (Liga Hoki Dunia),” kata Arul.