Rajagobal turunkan pasukan terkuat

Shah Alam: Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal akan menurunkan kesebelasan utama terbaiknya untuk aksi menentang Chelsea FC di Stadium Shah Alam, malam ini, sekali gus menyahut cabaran Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.

Namun, pengendali berusia 57 tahun itu berkata, kesebelasan utama yang diturunkan itu perlu mengambil kira kesesuaian mengikut keadaan terutama dari segi tahap kecergasan pemain.

“Saya fikir kita ada 26 pemain terbaik untuk diturunkan. Saya perlu lihat tahap kecergasan mereka. Kita tak boleh fikir semua pemain boleh bermain, kita tetap perlu melihat kepada situasi, siapa pemain terbaik yang boleh kita turunkan.

“Memang kalau boleh saya nak turunkan kesebelasan terbaik untuk memulakan separuh masa pertama. Apa pun saya akan turunkan pemain yang saya fikir cukup cergas dan betul-betul boleh bermain,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan terakhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Hanya seorang pemain yang masih cedera iaitu pertahanan kiri, Zubir Azmi manakala baki 26 pemain lain sudah boleh beraksi termasuk Safee Sali, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Mahalli Jasuli yang sebelum ini tidak beraksi ketika skuad kebangsaan seri 0-0 dengan kelab Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

“Ini latihan terakhir. Saya gembira kerana semua pemain yang cedera dan kurang sihat sebelum ini sudah boleh berlatih bersama. Begitu juga Fadhli Shas dan K Reuben yang baru pulang dari Kazan, Russia (Sukan Universiti Dunia).

“Saya mungkin melakukan dua atau tiga pertukaran berbanding kesebelasan ketika bertemu Chonburi FC,” kata Rajagobal yang ketika latihan, malam tadi memakai jersi skuad kebangsaan ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 sebagai mengambil aura dan semangat kemenangan, tiga tahun lalu.

Saksikan perlawanan ini secara live streaming jam 9:45 malam ini di sini.