Rajagobal tiada alasan lagi untuk kalah

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bakal turun beraksi menentang kelab liga utama Jepun, Shimizu S Pulse hari ini tanpa tekanan kerana seperti biasa aksi persahabatan itu hanyalah dijadikan persiapan buat ketua jurulatih Datuk K Rajagobal menjelang misi sebenar kelayakan Piala Asia 2014 menentang Bahrain pada Oktober.

Bagaimanapun ia tidak boleh terus dijadikan alasan buat Rajagobal untuk anak buahnya mencatat kekalahan demi kekalahan biarpun ia hanya sekadar perlawanan persahabatan kerana mereka tidak boleh terbiasa dengan tewas sehingga lupa nikmat kemenangan.

Justeru, kunjungan 10 hari ke Jepun harus dimanfaatkan sepenuhnya skuad kebangsaan bukan saja sekadar menimba ilmu sebaliknya mencari keputusan positif buat menyuntik kembali aura kemenangan yang mungkin semakin menipis berikutan beberapa siri kekalahan sebelum ini termasuk tumpas kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea 4-1 di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

“Memang setiap perlawanan kita mahu menang, kita sedar harapan semua peminat. Semua pemain perlu ambil ini sebagai cabaran untuk memberikan aksi lebih baik,” kata kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim yang ditemui sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun.

Dalam lima perlawanan persahabatan terakhir dengan pasukan berstatus kelab, skuad kendalian Rajagobal hanya berjaya mencatat satu kemenangan ke atas kelab divisyen dua Australia, Sydney Olympic manakala selebihnya berakhir dengan kekalahan.

Satu-satunya kemenangan yang dicatat Harimau Malaya dalam perlawanan antarabangsa ketika menewaskan Yaman 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2014 yang menghidupkan peluang untuk bersaing dalam Kumpulan D bagi merebut slot ke pusingan akhir.

Safiq yang baru pulih daripada kecederaan kaki dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika menentang Chelsea menyuarakan keyakinan misi untuk layak ke Piala Asia bukan mustahil bersandarkan kepada persiapan rapi skuad kebangsaan.

“Pasukan ini sudah menunjukkan peningkatan positif, saya percaya peluang Malaysia layak ke Piala Asia masih terbuka,” kata pemain tengah itu.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015, berkongsi tiga mata dengan Bahrain (kedua) apabila tewas 0-2 kepada pendahulu, Qatar dan menang 2-1 ke atas pasukan tercorot, Yaman selepas mengharungi dua perlawanan.

Skuad negara pulang ke tanah air pada 1 Ogos selepas mengharungi dua lagi perlawanan menentang Shonan Bellmare (27 Julai) dan Tokyo Verdy (30 Julai) sebelum turun beraksi dengan Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil (10 Ogos).