Rajagobal masih bereksperimen

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh menyifatkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal masih berminat untuk menguji kebolehan barisan pemainnya berbanding mencatat keputusan yang baik pada siri perlawanan persahabatan.

Shukor menyuarakan kebimbangan itu selepas skuad negara tewas 0-2 kepada pasukan Divisyen Satu Jepun, Shimizu S-Pulse kelmarin, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong-penyokong selepas menyaksikan prestasi tidak menentu di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Harimau Malaya sekadar memenangi satu perlawanan persahabatan ketika menewaskan kelab Australia, Marconi Stallions 4-0 dan ketika menundukkan Yemen 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam sepanjang 11 perlawanan antarabangsa.

Justeru, Shukor menganggap Rajagobal dilihat masih sedang menilai beberapa muka baharu Harimau Malaya untuk dijadikan sebagai pemain simpanan terbaik buat skuad negara.

Jelasnya, bekas pengendali Selangor itu hanya mengundang padah sekiranya gemar melakukan banyak pertukaran untuk menguji tahap kemampuan pemain berbanding mencari keputusan positif buat skuad negara.

“Rajagobal masih dalam mood eksperimen. Tidak salah untuk menguji tetapi anda juga perlu kenal kesebelasan utama.

“Jika dulu, skuad kebangsaan mengambil masa selama enam atau tujuh tahun untuk tukar pemain lain. Ini sebab mengapa pasukan dahulu memiliki persefahaman yang lebih mantap berbanding sekarang.

“Apa yang saya nampak adalah Rajagobal masih nak uji pemain. Mungkin beliau mahu mencari pemain gantian terbaik untuk pasukannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, legenda Pulau Pinang itu menggesa Harimau Malaya supaya tampil lebih serius ketika menghadapi perlawanan persahabatan.

Ini kerana Shukor menganggap ia adalah peluang terbaik buat Rajagobal untuk menilai kelemahan dan kekuatan ketika menentang kelab Divisyen Satu Jepun, Shonan Bellmare pada hari ini.

“Sekiranya Rajagobal tidak dapat (menilai) pemain, perlawanan persahabatan adalah medan terbaik untuk menguji kelemahan dan kekuatan pasukan kita.

“Paling mustahak, turunkan barisan terkuat ketika menentang pasukan ini (Shonan Bellmare) dan mungkin anda akan dapat rumusan untuk memperkemaskan pasukan dengan lebih baik.

“Kadang-kadang, prestasi pasukan akan jatuh sekiranya terlalu kerap menguji pemain tetapi hasilnya tiada sebarang manfaat kepada pemain mahupun kepada negara,” katanya.