Rajagobal disaran berundur

SITUASI Harimau Malaya semakin kritikal selepas mempamerkan persembahan tidak menentu sepanjang mengharungi siri perlawanan persahabatan di Jepun sejak 23 Julai lalu.

Ramai pemerhati menganggap rekod dua kemenangan daripada 12 perlawanan persahabatan di pentas antarabangsa itu tidak dapat memberikan satu keputusan yang positif buat skuad negara.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare Sabtu lalu.

Kekalahan itu tidak dapat membendung kemarahan khususnya dalam kalangan peminat-peminat Harimau Malaya.

Rajagobal turut dikecam hebat selepas ranking skuad negara statik di tangga ke-159 dunia kerana Harimau Malaya lebih berminat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan berstatus kelab.

Ramai pengkritik menganggap tindakan tepat untuk menyelamatkan maruah skuad negara ialah dengan memecat Rajagobal yang cukup sinonim dengan pendekatan mahu menguji pemain atau bereksperimen.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (gambar kecil) berkata beliau menganggap tindakan untuk memecat Rajagobal bukan satu jalan penyelesaian tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh menilai keupayaan bekas jurulatih Selangor itu.

“Saya rasa, prestasi pasukan negara selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala AFF Suzuki 2010 tidak mampu bertahan sehingga sekarang.

“Rajagobal dilihat semakin ‘kuat’ biarpun beliau sering menerima kritikan dan pandangan sinis daripada bekas-bekas pemain serta jurulatih kebangsaan.

“Pecat jurulatih bukan satu titik noktah atau sesuatu yang baik buat pasukan tetapi pengurusan (FAM) perlu memandang serius terhadap teguran daripada pihak luar.

“Tidak hanya berminat untuk mencuba pemain bagi mewakili negara tetapi paling mustahak, beliau harus mengambil berat mengenai ranking skuad negara dan pandangan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Timbalan Presiden FAM) serta Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Tengku Abdullah menggesa Rajagobal memantapkan skuad kendaliannya bagi menghadapi perlawanan penting termasuk menentang Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Baginda bertitah, ia bukan masa terbaik buat Rajagobal untuk terus menguji skuad kendaliannya selain mendesak Harimau Malaya mempamerkan persembahan lebih menyakinkan.

Sementara itu, pemain legenda Kelantan, Dali Omar tampil dengan nada berbeza apabila beliau menganggap jurulatih berusia 57 tahun itu telah kehabisan idea untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya.

“Kalau saya, sudah lama pecat (Rajagobal) dan perkara ini sepatut berlaku dua tahun lalu. Dulu beliau pernah berjanji nak letak jawatan secara sukarela.

“Saya sangat menyokong kenyataan Tengku Abdullah. Bagi saya, taktik Rajagobal sudah hancur. Jangan nak eksperimen lagi. Mungkin (kaedah) itu sesuai dengan budak sekolah sahaja,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyokong penuh kenyataan Dali dengan menegaskan, Rajagobal perlu berundur dengan cara hormat.

“Rajagobal memang bagus tetapi beliau sudah sampai ke tahap tepu. Setiap orang ada batas dan tahapnya.

“Sejujurnya, beliau tidak boleh lagi untuk membimbing Harimau Malaya. Nasihat saya, berundurlah. Orang akan marah jika anda kekal lebih lama.

“Kita perlukan seseorang yang lebih baik,” ujarnya. – Kosmo