Raja tetap puas hati walaupun kalah

Kuala Lumpur: Walaupun memperagakan aksi hambar dan gagal mencatat kemenangan ke atas kelab Thailand, Chonburi FC, peliknya pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal tetap gembira serta berpuas hati dengan prestasi pemain bimbingannya.

Dan seperti biasa, Rajagobal turut ‘mendendangkan lagu sama’ ketika memberi alasan di sebalik kegagalan anak buahnya mempamerkan persembahan baik dan mencatat kemenangan ke atas pasukan berstatus kelab itu.

“Saya cukup gembira dan puas hati dengan persembahan pemain. Lagi pun, kelab ada masa panjang untuk melakukan banyak benda dalam latihan, tak sama seperti skuad kebangsaan. Saya rasa untuk tiga hari latihan dan terus main, saya cukup gembira dan puas hati dengan corak permainan pemain walaupun kami bermula agak perlahan.

“Sebagai jurulatih, saya perlu fikir positif. Kami berjaya cipta peluang, main dengan baik tetapi tidak menyempurnakan peluang terhidang. Itu semua memang boleh berlaku. Apa pun, untuk keputusan lebih adil, kami sepatutnya boleh menang,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan yang berkesudahan 0-0, malam kelmarin.

Piala Asia lebih penting

Hakikatnya, Rajagobal menurunkan semua pemain sepanjang perlawanan itu kecuali penjaga gol Norazlan Razali dan Khairul Fahmi Che Mat serta dua pemain yang cedera, Safiq Rahim dan Mahalli Jasuli tetapi skuad kendaliannya masih gagal menghasilkan kemenangan.

Namun Rajagobal tetap mempertahankan diri dengan berkata: “Fokus saya dari hari pertama ialah persiapan menentang Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia, Oktober ini. Kita tak mahu pasukan capai kemuncak prestasi awal ketika ini kerana menentang Bahrain lebih penting.”

Rajagobal turut memuji prestasi pemain baru seperti Azizi Mat Rose, Junior Eldstal dan Nizad Ayub. [BH]

One Reply to “Raja tetap puas hati walaupun kalah”

  1. Anonymous

    Ambik Steve Darby jadi coach lagi bagus,,dia banyak pengalaman bolasepak di Malaysia serta Asia.

Comments are closed.