Raja perlu tahu ranking dunia penting

Seremban: Mahu atau tidak, pengurus dan jurulatih Harimau Malaya – Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk K Rajagobal – mulai hari ini harus segera mengubah pendirian serta falsafah mereka mengenai kedudukan ranking.

Ini kerana selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan ranking penting, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut senada.
Khairy menegaskan mana-mana pasukan di dunia jelas memburu kedudukan terbaik dari segi ranking kerana itu adalah penilaian sebenar terhadap sesebuah pasukan kebangsaan.

“Kita dapati mana-mana pasukan kebangsaan yang berjaya di kejohanan besar menduduki tangga atau ranking yang tinggi di dunia, jadi tidak boleh kita katakan bahawa kedudukan kita dalam ranking dunia tidak penting.

“Saya setuju bahawa kedudukan itu bukan segala-galanya kerana jika dapat ranking nombor satu tidak semestinya menang Piala Dunia, tetapi ia ada persamaannya iaitu negara yang tinggi ranking akan berjaya dalam kejohanan besar atau bertaraf antarabangsa.

Eksperimen ranking

“Jadi kalau kita menafikan ranking tidak penting, saya nampak ia bukan perkara yang produktif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rakan Muda Ihya Ramadan Peringkat Negeri Sembilan 2013, di Masjid At-Taqwa Paroi, malam kelmarin.

Khairy turut berharap FAM merumuskan formula terbaik ketika membuat eksperimen antara beraksi menentang kelab atau perlawanan kelas A kerana pada akhirnya rakyat akan menilai pasukan kebangsaan melalui ranking.

Khairy ketika perlawanan Malaysia menentang Chelsea semalam

“Takkan kita boleh berbangga dengan kedudukan ranking 150 hingga 160 itu.
Jadi kita carilah pendekatan yang lebih seimbang ketika membuat eksperimen antara bermain dengan kelab atau pasukan berstatus amatur dan kelas A.

“Pada masa sama kita juga haruslah kerap bermain dalam perlawanan persahabatan berstatus A, sebab penanda kita dengan pasukan negara lain bukannya dengan pasukan kelab, apalagi kelab berstatus amatur,” katanya.