Raja ditegur tidak lagi tukar status perlawanan

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan skuad Harimau Malaya tidak lagi boleh mengambil mudah dengan menukar status aksi persahabatan kelas A kepada perlawanan ujian pemanas badan.

Ini kerana Hamidin menyifatkan pertukaran status tersebut menjadi antara faktor utama kejatuhan ranking Harimau Malaya.

Justeru, Hamidin berharap insiden mengubah status aksi persahabatan kelas A kepada perlawanan ujian seperti menentang Iraq (Harimau Malaya tewas 0-2, Februari lalu), Arab Saudi (tewas 1-4, Mac) dan Palestin (tewas 0-2, Mac) tidak lagi berulang.

“Bagi saya ranking itu sangat mustahak. Ini kerana ranking menjadi penanda aras bagi sesebuah pasukan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak disebabkan pertukaran status perlawanan itu.

Selepas gagal mempertahankan Piala AFF pada 2012, Rajagobal kini dalam misi melayakkan skuad negara buat kali pertama ke pusingan akhir Piala Asia 2015 hingga mengorbankan beberapa perlawanan persahabatan menentang skuad yang menawarkan pungutan mata tinggi seperti Iraq (tewas 0-2 pada Februari), Arab Saudi (tewas 1-4 pada Mac) dan Palestin (tewas 0-2 pada Mac) yang sepatutnya menjadi aksi persahabatan berstatus A dan mampu membaiki kedudukan ranking negara yang kini berada di tangga ke-159 dunia.

Aksi itu sebaliknya dijadikan perlawanan ujian dan berdasarkan kalendar FIFA, terdapat 15 perlawanan berstatus A sepanjang 2013 sepatutnya dimanfaatkan tetapi skuad Harimau Malaya baru mendapat dua perlawanan tahun ini ketika aksi kelayakan Piala Asia 2015 peringkat kumpulan bertemu Qatar dan Yaman.

“Perlu diingat, kadangkala tidak semua masa yang kita tetapkan sesuai dengan pasukan lawan.

“Apa yang penting, jurulatih harus peka dan tegas apabila perlawanan telah ditetapkan, kita wajib bermain,” kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Hamidin memberitahu, FAM telah berusaha keras untuk memastikan Harimau Malaya dapat mengadakan aksi persahabatan kelas A seawal-awalnya pada penghujung tahun ini.

“Kita perlu berusaha untuk memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa.

“Jadi FAM sedang menyusun jadual untuk kalendar tahun depan selepas FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) mengeluarkan tarikh-tarikh mengadakan aksi perlawanan berstatus A.

“Pada tahun depan, ada sembilan tarikh yang dibenarkan untuk mengadakan aksi perlawanan antarabangsa dan FAM telah menghantar surat permohonan kepada persatuan-persatuan bola sepak di negara Asia Tenggara, Asia, Afrika dan Eropah tetapi kita sasarkan pasukan negara dari Asia.

“Kita perlu berusaha dari sekarang bagi mengelak sebarang pertindihan jadual atau pembatalan perlawanan pada saat-saat akhir,” katanya.

Perlawanan berstatus A paling hampir adalah menentang Emiriah Arab Bersatu pada 10 Oktober.

“Saya menyusun perlawanan untuk tahun depan dengan semua sembilan tarikh perlawanan kategori A berlangsung seperti sepatutnya selain aksi persahabatan pada tarikh yang bukan membabitkan kalendar FIFA. Sejak dua minggu lalu kami sudah menghantar surat tawaran kepada banyak negara dengan kebanyakannya dari Asia selain Afrika serta Eropah dan berharap mendapat jawapan positif hujung tahun ini,” kata Hamidin.

Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, aksi persahabatan menentang kelab akan dihentikan seketika selepas kunjungan menentang tiga kelab Jepun bermula hari ini dengan tumpuan lebih banyak diberikan kepada lawan berstatus negara seperti disarankan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.

“Segala perancangan hala tuju skuad kebangsaan membabitkan aksi persahabatan selepas ini akan dibincangkan Jawatankuasa Teknikal pada 1 Ogos,” katanya.