Prestasi Rajagobal semakin mengecewakan

Kuantan: “Kita memerlukan keajaiban untuk menang tapi kekalahan bukanlah sesuatu yang saya harapkan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pertemuan pasukan kebangsaan menentang Barcelona pada 10 Ogos ini.

Selepas kekalahan demi kekalahan yang dialami skuad Harimau Malaya beliau kini mahu jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal supaya memantapkan barisan pemain utamanya untuk menentang kelab gergasi Sepanyol itu.

Katanya, kini bukan masanya Rajagobal untuk terus bereksperimen kerana ia seharusnya dilakukan sebelum perlawanan bertaraf tinggi itu dan bukannya dalam masa yang suntuk begini.

“Sepatutnya, kini bukan lagi waktu sesuai untuk jurulatih terus melakukan eksperimen kerana kalau terus bereksperimen, sampai bila kita mahu mendapatkan keserasian antara pemain.

“Jadi, saya harap Rajagobal dapat membuat memilih pemain terbaik menjelang perlawanan menentang Barcelona,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan menyifatkan kekalahan memalukan Harimau Malaya 0-5 kepada kelab kedua tercorot J-League 1, Shonan Bellmare dalam aksi persahabatan kelmarin, sebagai satu tragedi bola sepak tanah air.

Mereka berkata, maruah Harimau Malaya dicarik-carik kerana kekalahan besar tersebut.

Lantaran itu, kata mereka tiada sebarang alasan yang boleh diberikan jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal untuk menutup kepincangan Harimau Malaya sebaliknya satu formula drastik perlu dicari untuk memperbaiki prestasi yang semakin merudum.

Antara orang lama yang lantang bersuara adalah bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, yang menggesa supaya rombakan perlu dilakukan bagi pasukan kebangsaan sebelum terlambat dan menyifatkan kekalahan itu sebagai memalukan.

“Apa lagi saya boleh cakap? Kalau saya cakap nanti orang marah. Namun memang kualiti pemain dan jurulatih kita masih di takuk rendah dan kekalahan besar sebuah pasukan berstatus kelab, memang memalukan sebagai pasukan negara.

“Kita kena sedar Liga Jepun yang berada di kelas A dan apabila kita kalah, apa lagi hendak ditunjukkan oleh Rajagobal. Saya fikir sudah sampainya satu rombakan drastik perlu dilakukan, kekalahan 0-5 sukar untuk diterima oleh semua peminat bola sepak Malaysia, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tidak menafikan bahawa kekalahan terbaru itu pasti menjatuhkan moral dan keyakinan pemain dalam tempoh terdekat, Khalid mengingatkan pemain supaya ada perasaan malu apabila tewas sedemikian rupa.

“Jika mereka ada berasa malu, sudah tentu mereka takut untuk menghadapi peminat kerana sering kali mencatatkan kekalahan namun andai sebaliknya iaitu tiada lagi perasaan malu, saya fikir mereka ini bukan lagi pemain tulen dan jangan terlalu banyak lagi memberi alasan, ” katanya.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasan pula mempersoalkan sama ada Rajagobal mendengar atau tidak kritikan yang dilemparkan oleh pemerhati bola sepak atau sekadar menganggap itu satu perkara yang tidak perlu diendahkan.

“Saya tahu ada kalanya pandangan yang diberikan oleh mereka di luar padang tidak sama dengan mereka yang melatih. Namun terimalah sekurang-kurangnya teguran itu sebagai sesuatu yang positif, janganlah hanya pandang sinis sahaja dengan apa orang lain perkatakan dengan mengatakan benda-benda yang tidak sepatutnya seperti ranking tidak perlu.

“Mungkin tidak semua apa yang diperkatakan oleh saya atau bekas-bekas pemain lain itu betul tetapi pandangan kami semua adalah berdasarkan pengamalan kami sepanjang bergelar pemain dan sayangkan bola sepak negara.

“Satu lagi, janganlah kita terlalu asyik mengimbas kejayaan lalu seperti memenangi pingat emas Sukan SEA atau Piala AFF. Sudah sampainya kita fokus untuk memperbaiki prestasi dari masa ke semasa, kekalahan ini satu tamparan hebat kepada, sudah tentu JFA (Persatuan Bola Sepak Jepun) mentertawakan kita boleh kalah kepada sebuah pasukan kelab, ” katanya.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abdullah  pula berkata, pendekatan Rajagobal untuk menguji muka-muka baharu dalam skuad kebangsaan dianggap sudah tidak relevan.

Namat menyuarakan kenyataan lantang itu selepas skuad negara diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare kelmarin.

Bekas pemain Kedah itu menganggap, tindakan Rajagobal memakan diri sendiri apabila skuad kebangsaan terpaksa menanggung malu besar terutamanya diaibkan dengan kekalahan terbesar kepada pasukan Divisyen Satu Jepun itu.

Namat berkata, persembahan yang tidak konsisten ditambah dengan eksperimen terhadap pemain-pemain langsung tidak memberikan sebarang manfaat kepada Harimau Malaya.

“Senang cerita, tak payah uji pemain. Rombak satu pasukan.

“Jika inilah hasilnya untuk menguji pemain-pemain baharu tetapi skuad negara diaibkan dengan kekalahan besar, saya tidak menganggap ia sebagai satu pendedahan yang bagus.

“Sebaliknya, skuad negara dimalukan dengan pasukan bertaraf kelab. Saya tidak mahu campur dalam hal pengurusan Rajagobal tetapi lebih baik rombak sahaja skuad yang sedia ada.

“Berdasarkan persembahan yang tidak konsisten terutamanya menjelang kejohanan besar yang semakin hampir (kelayakan Piala Asia 2015), mereka semakin kesuntukan masa.

“Nasihat saya, Harimau Malaya harus bangkit dengan memberikan persembahan menyakinkan kepada peminat-peminat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Impian Harimau Malaya untuk memburu slot automatik pada kelayakan Piala Asia 2015 dijangka berdepan kesukaran selepas mempamerkan prestasi tidak menentu sepanjang mengharungi aksi pemanas badan.

Selain itu, kemarahan peminat-peminat juga tidak dapat dibendung lagi apabila skuad negara lebih cenderung untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan menentang pasukan bertaraf kelab berbanding skuad kebangsaan.

Sebelum ini, anak-anak buah Rajagobal telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan di Australia yang berkesudahan mereka tewas 2-3 kepada Canberra FC, menang 4-0 ke atas Sydney Olimpik dan kalah 2-0 dengan Marconi Stallions, Jun lalu.

Harimau Malaya turut seri tanpa jaringan ketika menentang kelab Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai lalu.

Untuk rekod, Harimau Malaya hanya menewaskan Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan dan Yemen 2-1 dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015 sepanjang 12 perlawanan sejak 1 Februari lalu.

Skuad negara yang tewas 0-2 kepada Shimizu S Pulse pada aksi pertama siri perlawanan persahabatan di Jepun sebelum dibelasah 0-5 oleh Shonan Bellmare akan melengkapkan aksi terakhir dengan menentang Tokyo Verdy, Rabu ini.

Skuad bimbingan Rajagobal akan bertemu Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan sebelum melayan kunjungan Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos depan.

Dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, Harimau Malaya kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D apabila berkongsi tiga mata dengan Bahrain (kedua) selepas tewas 0-2 kepada pendahulu, Qatar dan menang 2-1 terhadap pasukan tercorot, Yemen sepanjang dua perlawanan pertama.