Presiden FAM sokong Rajagobal

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menggesa skuad Harimau Malaya supaya tidak sesekali tunduk terhadap kritikan dan provokasi daripada sesetengah pihak.

Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda yakin bahawa skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu masih berpeluang untuk memperbaiki prestasi semasa meskipun berdepan dengan kritikan hebat terutama membabitkan kedudukan mereka dalam ranking dunia.

Menurut Sultan Ahmad Shah, FAM sudah lali dengan pandangan-pandangan negatif itu, justeru baginda berharap Harimau Malaya menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Negara ini mengamal dasar terbuka (demokrasi). Semua orang boleh bercakap dengan mengkritik (prestasi Harimau Malaya).

“Ini bukan pertama kali skuad negara berdepan dengan situasi tersebut tetapi kita perlu berusaha untuk memperbaiki ranking kita,” titah baginda pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa FAM bersama media di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Sejak kebelakangan ini, prestasi Harimau Malaya sering mendapat kecaman daripada pemerhati dan peminat bola sepak tanah air.

Kemuncak kemarahan mereka apabila FAM hanya mengatur aksi persahabatan membabitkan Harimau Malaya dengan pasukan-pasukan berstatus kelab.

Kegagalan FAM mengatur perlawanan persahabatan kelas A dengan pasukan antarabangsa dilihat sebagai antara punca prestasi Harimau Malaya terus merudum.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) awal bulan ini, skuad Harimau Malaya kekal di tangga ke-159, sama seperti kedudukan bulan lalu.

Sebagai rekod, pada Januari 2013, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158, Februari (159) Mac (164), April (163) dan Mei (161).

Dalam perkembangan lain, Sultan Ahmad Shah turut melahirkan rasa gembira terhadap prestasi Harimau Malaya biarpun tewas 1-4 kepada Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

“Saya tetap berpuas hati dengan persembahan skuad negara ketika mereka menentang Chelsea dan saya yakin, kita masih berupaya untuk memperbaiki tahap persembahan kita,” titah baginda.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Jepun malam ini bagi mengharungi perlawanan persahabatan menentang tiga kelab Jepun – Shimizu S Pulse (25 Julai), Shonan Bellmare (27 Julai) dan Tokyo Verdy (30 Julai) sebelum menentang gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan. [Kosmo]