Piya hilangkan diri, bakal dikenakan tindakan

Kelana Jaya: Ke mana Piya menghilang? Itu persoalan yang timbul di kem skuad Harimau Malaya apabila kapten Kelantan itu atau nama sebenar Mohd Badhri Radzi tidak melaporkan diri bagi sesi latihan pusat kendalian Datuk K Rajagobal yang masuk hari kedua semalam.

KAPTEN Kelantan itu, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran kegagalannya melaporkan diri untuk sesi latihan Harimau Malaya yang bermula kelmarin.

Pemain tengah itu dikatakan mengalami kecederaan hamstring dan diarahkan untuk datang melaporkan diri oleh Rajagobal bagi menjalani ujian perubatan dengan pegawai perubatan FAM semalam.

Bagaimanapun Badhri, 31, yang memberi alasan masalah penerbangan sebelum itu masih tidak muncul semalam sekali gus mengundang tanda tanya sama ada dia benar-benar cedera ataupun sebaliknya.

Namun Rajagobal yang ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan semalam tidak mahu membuat rumusan lebih awal sebaliknya akan meminta penjelasan pemain perancang The Red Warriors itu.

“Kita mahu tahu apa sebab sebenarnya sebelum kita buat kesimpulan. Saya akan meminta penjelasan daripada Piya atau KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) kerana itulah polisi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, perancang The Red Warriors itu akan diberikan surat tunjuk sebab kerana masih tidak menyertai kem latihan tanpa memberi sebarang alasan.

Menurut Subahan, setiap pemain yang disenaraikan bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal wajib melaporkan diri meskipun ditimpa masalah kecederaan.

“Mana-mana pemain cedera, harus melaporkan diri terlebih dahulu dan pegawai fisioterapi pasukan akan memeriksa tahap kecederaan mereka.

“Apabila isu ini timbul, ramai yang menuding jari kepada kami kenapa tidak memanggil pemain ini (Badhri).

“Ada beberapa kali kami panggil pemain ini tetapi kadang-kadang mereka tidak mahu datang tetapi kami tidak guna kuasa yang ada, sebab kami hanya mahu pemain yang benar-benar berminat (menyertai Harimau Malaya).

“Namun, kami akan gunakan peruntukan sedia ada untuk mengambil tindakan kepada pemain yang tidak hadir tanpa alasan kukuh.

“Bagi kes Badhri, kami masih berlaku adil dan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada dia esok (hari ini),” kata Subahan ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya tidak melaporkan diri mengikuti kem latihan Harimau Malaya sejak Khamis lalu.

Difahamkan, Piya ditimpa masalah hamstring selain mengalami masalah kelewatan penerbangan yang menjadi punca mengapa pemain berusia 31 tahun itu tidak bersama Harimau Malaya ketika ini.

Piya turut tidak menyertai Harimau Malaya ketika menjalani siri perlawanan persahabatan di Australia bulan lalu gara-gara masalah kecederaan.

Untuk rekod, Piya sekadar membuat dua penampilan bersama Harimau Malaya ketika tewas 1-4 kepada Arab Saudi (17 Mac) dan mengalahkan Yemen 2-1 (22 Mac).

Dalam perkembangan sama, Rajagobal memberitahu: “Kita mahu tahu apa sebab kenapa Piya tidak hadir sebelum buat sebarang kesimpulan.

“Saya akan meminta penjelasan daripada Piya atau Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana itu adalah polisi FAM,” katanya.