Piya enggan fikir gaji RM100,000

Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mahu memberi fokus 100 peratus kepada pasukan kesayangannya, The Red Warriors (TRW) bagi saingan Piala Malaysia dan enggan memikirkan tawaran gaji lumayan menantinya bersama pasukan lain musim depan.

“Memang tidak dinafikan kontrak saya bersama Kelantan akan tamat pada penghujung musim ini, namun saya tidak mahu memikirkan khabar angin yang mengatakan ada pasukan ingin memancing saya dengan harga tinggi, pada musim depan.

“Saya mahu fokus dalam membantu pasukan menghadapi saingan Piala Malaysia. Khabar angin dan spekulasi seperti itu adalah perkara biasa. Bagi saya masih terlalu awal untuk saya memikirkan nasib saya bersama pasukan mana untuk musim depan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, terdapat banyak khabar angin di internet dan laman Facebook yang mengatakan Piya bakal dipancing pasukan lain pada musim depan.

Terbaru, ada pasukan dikatakan sedia membayar gaji bulanan sehingga mencecah RM100,000 manakala bayaran perpindahan bernilai RM3 juta.

Dalam perkembangan lain, pemain tengah itu kecewa kerana tidak dapat menyertai skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan dengan dua kelab gergasi Eropah, Chelsea pada 21 Julai dan Barcelona, 10 Ogos kerana kecederaan paha kiri.

“Doktor minta saya berehat lebih daripada dua minggu untuk pulih sepenuhnya. Memang tidak dinafikan perasaan kecewa apabila tidak dapat menimba pengalaman berharga menentang dua kelab gergasi Eropah itu,” katanya. [BH]