Piya dibenar pulang, perlu tiga minggu untuk pulih

PETALING JAYA – Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal melepaskan Badhri Radzi kembali ke Kota Bharu bagi menjalani rawatan susulan kecederaan urat pelipat lututnya.

Ini bermakna pemain tengah Kelantan itu boleh melupakan siri persahabatan dengan Chonburi FC, Chelsea dan jelajah ke Jepun, bulan ini.

Katanya, pengesahan doktor dan pakar fisioterapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menjangkakan Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya memerlukan rehat tiga minggu untuk pulih sepenuhnya dan dia dibenarkan meneruskan rawatan dengan pakar perubatan di hospital terdahulu yang mengesan kecederaannya.

“Ketika ini, senarai pemain negara tercedera masih melibatkan Safee Sali dan Safiq Rahim manakala Norshahrul Idlan Talaha diserang demam panas tetapi saya akan terus memantau keadaan mereka sehingga beberapa jam sebelum perlawanan dengan Chonburi (di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini).

“Walaupun agak sukar tanpa pemain terbaik, saya rasa tiada masalah jika terpaksa menurunkan pemain lain kerana saya tahu pemain seperti Amri Yahyah masih boleh menggantikannya,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Menurut Rajagobal, Chonburi tetap diakui lawan yang berkualiti menjelang persahabatan dengan gergasi Liga Perdana England, Chelsea di Stadium Shah Alam, 21 Julai ini, memandangkan mereka memiliki tujuh pemain kebangsaan Thailand dan menduduki tempat ketiga Liga Perdana di negara mereka.

“Perlawanan ini penting dan lawan tidak kurang hebatnya,” ujarnya yang turut akan menerajui skuad negara ke Jepun bagi menentang kelab Shimizu S Pulse pada 25 Julai ini, Shonan Bellmare (27 Julai) dan Tokyo Verdy (31 Julai) sebelum menentang gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona di Bukit Jalil, 10 Ogos.

Sebagai rekod, Chonburi atau digelar ‘Si Jerung’ pernah menjuarai Liga Perdana Thailand 2007, Piala FA 2010 dan Liga Wilayah 2005 selain beraksi dalam Liga Juara-juara Asia 2008 dan 2012 malah mara ke separuh akhir Piala AFC, tahun lalu.

Sementara itu, pengurus pasukan Chonburi, Withaya Laohakul berkata: “Kami memang memandang serius perlawanan ini apatah lagi baru sahaja menewaskan pasukan kebangsaan Thailand dalam satu perlawanan persahabatan, dua minggu lalu.”

Sementara penjaga gol pasukan itu, Sinthaweehai Hathairattanakol yang juga pemain kebangsaan Thailand berkata, ada dua pemain Malaysia yang dikenalinya iaitu Safee dan Safiq (ketika Piala Suzuki AFF, tahun lalu).

“Saya teruja menghadapi perlawanan ini. Jika Malaysia menang, umpama menewaskan pasukan negara kami,” jelasnya. [Utusan]