Perlawanan sukar bertemu Malaysia – Crutchley

Johor Bahru: Sama ada sekadar helah atau sebaliknya, ketua jurulatih England Bobby Crutchley pantas menyatakan anak buahnya bakal melalui perlawanan sukar apabila bertemu skuad negara hari ini.

Selepas seri dua perlawanan awal, England pasti mengharapkan kemenangan ke atas skuad negara pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B bagi membolehkan mereka bertemu lawan lebih mudah pada suku akhir.

“Corak permainan Malaysia lebih baik ketika ini. Mereka menunjukkan peningkatan drastik.

“Saya fikir bukan mudah apabila bertemu Malaysia pada perlawanan ketiga tapi kami juga perlu mempamerkan aksi lebih baik,” katanya.

Crutchley berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri juga memberikan suntikan semangat kepada Malaysia.

“Saya lihat semangat pasukan Malaysia sangat luar biasa, begitu juga dengan penonton yang hadir ke stadium. Seperti yang saya katakan tadi, kami tidak memandang mudah perlawanan ini.” Crutchley mengaku kemenangan amat dituntut daripada anak buahnya kerana ia pasti memberi suntikan semangat kepada mereka selepas sekadar seri ketika bertemu Afrika Selatan dan England.

“Saya rasa semua pasukan juga mahu mengelak daripada bertemu lawan sukar seperti Jerman dan Argentina pada suku akhir. Sebab itu kami perlu meraih kedudukan terbaik peringkat kumpulan,” katanya.