Penjenayah tembak mati guru muzik

BACHOK – Seorang guru muzik hanya sempat memandu kereta jenis Mercedes C200 sejauh 50 meter keluar dari Sekolah Kebangsaan Beris Panchor sebelum dia menemui ajal akibat ditembak penjenayah bermotosikal ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Baru Kampung Panjang dekat sini semalam.

Kejadian pukul 1.40 petang di Kampung Beris Panchor itu mengakibatkan Hashim Mat Zain, 43, yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan mati di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan dari peluru jenis .38 di dada dan bahu.

Polis masih menyiasat motif kejadian namun pihak berkuasa itu tidak menolak kemungkinan hutang menjadi punca pembunuhan kerana semakan mendapati mangsa terlibat dalam perniagaan balak, jualan langsung dan kontrak kantin.

Sebaik ditembak di satu simpang yang terletak kira-kira 50 meter dari pintu pagar sekolah, kereta yang dipandu mangsa terbabas ke halaman dan melanggar tangga rumah milik Siti Aminah Abdullah, 53.

Rumah Siti Aminah terletak kira-kira 20 meter dari simpang berkenaan.

Mengimbau semula kejadian itu, Siti Aminah memberitahu, ketika dia sedang solat Zuhur, dia terdengar empat das tembakan sebelum disusuli dengan bunyi dentuman di depan rumah.

“Saya melihat mangsa terkulai dan terketar-ketar menahan kesakitan. Saya cuba membantunya mengucap dua kalimah syahadah tetapi tidak sempat sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” kata Mohamad Deris, 64, yang sempat melihat mangsa nazak sebelum meninggal dunia akibat ditembak sebaik keluar dari sekolah tempat dia mengajar.