Pengasas AmBank ditembak mati

Pengasas AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi (gambar kecil), 75, yang berasal dari Bahrain ditembak mati di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur hari ini sementara isterinya cedera terkena tembakan.

Beliau yang kini merupakan penduduk tetap Malaysia berjalan menuju ke keretanya bersama isteri apabila seorang yang bersenjata menuju ke arahnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah belakang menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian kira-kira pada jam 1.30 tengahari.

Isterinya yang cedera terkena tembakan di badan dikejarkan ke hospital.

Saksi kejadian berkata pasangan itu terdahulu melawat kuil yang berada di hadapan tempat letak kereta.

Saksi yang tidak mahu namanya didedahkan berkata dia berada di gerai makan apabila seorang lelaki berjalan mendekati pasangan itu.

“Kemudian saya mendengar bunyi beberapa das tembakan dan melihat pasangan itu tumbang. Saya berlari menyelamatkan diri apabila lelaki itu menuju ke arah saya,” katanya.

Dia berkata lelaki bersenjata itu yang memakai topi dan cermin mata hitam bergegas meninggalkan tempat kejadian menaiki teksi.

Kejadian tembakan itu berlaku selang beberapa hari selepas pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan ditembak di Bahau. Bulan lalu juga mencatatkan beberapa siri tembakan.

Pengerusi Kumpulan Ambank Berhad Tan Sri Azman Hashim mengucapkan takziah kepada isteri Hussain dan menyatakan beliau sedih dengan insiden itu.