Pemain negara, Teck Zhi juara Remaja Asia

KUALA LUMPUR – Pemain negara, Soo Teck Zhi dinobat juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah 19 Tahun selepas menundukkan lawannya dari Korea Selatan, Jeon Hyuk Jin 21-17, 13-21, 21-15 dalam perlawanan akhir, semalam.

Perlawanan di Stadium Tertutup Likas, Kota Kinabalu Sabah itu menyaksikan Teck Zhi, pilihan kelima kejohanan dikerah bekerja keras oleh Hyuk Jin terutama pada set kedua sebelum berupaya meraih kemenangan menerusi set penentuan.

Kemenangan Teck Zhi menjadikan dia wakil tunggal Malaysia yang memenangi perlawanan akhir semalam setelah rakan senegara yang lain tersingkir iaitu dalam acara beregu lelaki, perseorangan perempuan, beregu perempuan dan beregu campuran.

Sebelum ini Malaysia kalah 1-3 kepada Jepun pada peringkat suku akhir acara berpasukan campuran Selasa lalu.

Pada suku akhir Jumaat lalu, Teck Zhi menumpaskan pemain China, Jun Peng 21-15, 21-12 dan memenangi perlawanan separuh akhir kelmarin menewaskan pilihan pertama, Thammasin Sittikom dari Thailand 21-14, 21-12.

Kemenangan Teck Zhi ke atas Thammasin kelmarin tidak diduga kerana skuad negara sebenarnya lebih menyandarkan harapan kepada pemain utamanya yang juga pilihan kedua kejohanan, Soong Joo Ven untuk memburu gelaran perseorangan lelaki.

Namun bintang remaja Selangor itu ditunjukkan jalan keluar oleh Hyuk Jin, 23-21, 17-21, 11-21 pada saingan suku akhir Jumaat lepas. {utusan]