Pemain mahu Paul Revington kekal

Kuala Lumpur: Walaupun masih membisu mengenai masa depannya, sudah ada desakan daripada barisan pemain meminta Paul Revington kekal memikul tugas sebagai ketua jurulatih skuad hoki negara.

Bagi mereka, Revington perlu kekal kerana andai beliau meninggalkan tugasnya selepas saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia berakhir, bukan mudah bagi penggantinya menggalas tugas selepas itu.

Skuad negara kini masih mempunyai satu tugas besar iaitu turun pada saingan Piala Asia di Ipoh bermula 24 Ogos yang menjanjikan satu tiket slot ke Piala Dunia, peluang terbaik untuk skuad negara ke pentas tertinggi itu sejak membuat penampilan terakhir pada 2002.

Meskipun berada dalam senarai pilihan untuk mengisi baki slot ke Piala Dunia, ia masih tidak pasti kerana segala-galanya bergantung kepada lima kejohanan antara benua yang bakal berlangsung selepas ini termasuk Piala Asia.

“Saya tidak kisah kami dibimbing mana-mana jurulatih tapi setakat ini kami sudah serasi bersama Revington. Dia seorang jurulatih yang bagus.

“Saya rasa kalau ganti jurulatih lain dalam tempoh dua bulan sebelum Piala Asia memang tidak munasabah sebab sudah tentu kami perlu sesuaikan corak permainan dengan jurulatih baru,” kata ketua pasukan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah.

Perkara sama diakui penyerang veteran negara, Chua Boon Huat yang begitu mengharapkan jurulatih berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu kekal membimbing pasukan.

“Apapun kita tunggu keputusannya tapi saya harap Revington kekal sebab dia baru saja membimbing skuad negara,” katanya.

Revington terus berteka-teki ketika ditanya mengenai keputusannya selepas berakhir saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru tapi beliau seolah-olah memberi petanda untuk kekal apabila menegaskan akan fokus terhadap saingan Piala Asia pula selepas ini. [HMetro]