Pablo Aimar tolak Al Ahli untuk JDT?

Pablo Aimar telah menolak tawaran pasukan dari Dubai, Al Ahli.

Tindakan tersebut mungkin kerana beliau lebih berminat untuk menyertai Johor Darul Takzim bagi saingan Liga Super musim depan.

Pada awal bulan ini kelab Al Ahli dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain dari Argentina itu namun mereka kini telah membatalkan hasrat itu selepas Aimar tidak bersetuju dengan beberapa perkara dalam kontrak yang ditawarkan.

Sementara itu, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) minggu lepas telah mengesahkan Darul Takzim hampir mendapatkan khidmat bekas pemain Benfica itu.

“Selari dengan prinsip PBNJ yang sentiasa akan membawa nama-nama besar dalam industri bolasepak untuk berkhidmat dengan pasukan Johor, kami semakin hampir mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak bersama Pablo Aimar.” kata baginda dalam satu kenyataan rasmi.

Antara pemain lain yang dikaitkan dengan Harimau Selatan adalah dua pemain LIONSXII, Baihakki Khaizan dan Hariss Harun. [foxsports]