Mukhriz intai kerjasama kelab antarabangsa selepas terajui KFA

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir semalam dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh sebanyak 28 perwakilan yang menyertai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz yang ditemui pemberita selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima amanah tersebut serta berazam untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak pasukan Kedah.

“Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat negeri ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA.

“Azam saya sudah tentu Kedah berjaya menjadi gemilang semula dalam arena bola sepak dan saya yakin dengan formula mantap perkara ini tidak mustahil,” katanya.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan lagi pasukan bola sepak Kedah, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kelab bola sepak antarabangsa bagi berkongsi ilmu dengan penggerak bola sepak di Kedah.

“Kita mahu mereka bekerjasama dengan kita berkongsi ilmu dalam bidang pengurusan pasukan, pengurusan stadium, kewangan, kelab peminat dan lain-lain lagi.

“Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana, tapi sekarang memang kita tengah bincang dengan satu dua kelab,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih sementara pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia, Datuk Ahmad Shafie optimis bahawa pasukan Kenari akan mencipta kejayaan pada saingan Liga Malaysia nanti.

“Kita malap sekarang bukan makna kita tidak boleh menyinar, saya yakin kita boleh harungi Liga Malaysia dan berada pada tangga teratas.

“Saya juga percaya barisan pemain Kedah adalah terbaik dan potensi mereka harus digilap lagi,” jelasnya. [utusan]