Mourinho memuji atau perli?

Shah Alam: Sama ada pujian yang dihamburkan Jose Mourinho kepada skuad Harimau Malaya sekadar hanya mahu mengambil hati atau ia benar-benar ikhlas, hanya pengendali Chelsea itu yang tahu.

Dalam sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan yang berkesudahan Chelsea mudah membenam skuad bimbingan Datuk K Rajagobal 4-1 di Stadium Shah Alam malam kelmarin, pengendali dengan gelaran ‘Yang Teristimewa’ itu memuji aksi diperagakan pemain tuan rumah pada babak pertama.

Apa yang menghairankan di sebalik pujian itu, Chelsea meledak tiga gol pada babak berkenaan, malah Rajagobal sendiri mengakui kecewa dengan persembahan pemainnya sebelum mereka cuba bangkit memberi tentangan pada babak seterusnya.

Serangan balas pantas

“Kami bertemu pasukan yang baik, mereka mencipta masalah dan memberi tekanan buat kami pada babak pertama. Serangan balas mereka pantas dan penuh kreativiti,” kata pengendali dari Portugal itu.

Bagaimanapun corak permainan yang mendapat pujian jurulatih tersohor dunia itu tidak diterjemah anak buah Rajagobal sebaiknya apabila hanya dua percubaan ke arah gol terhasil pada babak pertama – percubaan jarak dekat K Gurusamy dan rembatan dari luar kotak oleh Aidil Zafuan Abd Radzak.

Selain daripada itu dua percubaan dari titik sepakan percuma oleh Amri Yahyah dan Gurusamy mudah ditangkap penjaga gol Chelsea, Mark Schwarzer. Sebaliknya Chelsea mudah meledak tiga gol menerusi Bertrand Traore (m-6), Kevin De Bruyne (m-28) dan Romelu Lukaku (m-45).

Itu adalah hakikat dan pandangan pengendali Chelsea, Jose Mourinho mengenai aksi persahabatan Blues menentang skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam, malam kelmarin yang menyaksikan anak buahnya mudah menang 4-1 di hadapan 40,000 penonton.

Selepas sekadar menewaskan Singha All Stars, 1-0, Chelsea bangkit menerusi tiga jaringan pemain muda pada babak pertama untuk menggambarkan kehebatan gergasi EPL itu disusuli gol Victor Moses di penghujung perlawanan menewaskan Mohd Farizal Marlias sebelum Mohd Fadhli Shas menyumbat gol sagu hati tuan rumah.

“Saya gembira kerana ia sebahagian proses latihan kami. Kami menjalani latihan menentang Thailand (Singha All Stars) dan Malaysia. Ia sesi latihan apabila kami mempraktikkan apa yang kami berlatih setiap hari.

“Oleh kerana sesi latihan tertutup, anda tidak boleh merasai apa yang kami terjemahkan dalam padang namun sebaliknya bagi saya. Saya melihat menerusi aspek pertahanan dan menyerang. Kaedah itu penting bagi saya dan pemain,” kata Mourinho yang gembira dengan perkembangan dipamer skuad kendaliannya itu.

Beliau yang kembali membimbing Chelsea musim ini menambah, keputusan perlawanan tidak penting kerana ia sebahagian daripada proses membentuk karektor pasukan.

Hingga kini beliau gembira dengan perkembangan pemain dalam aspek identiti, personaliti dan mentaliti untuk menang yang membolehkan Chelsea bermain menurut cara digemarinya.

Tanpa berselindung pengendali dari Portugal itu memuji skuad kebangsaan apabila mempamerkan tentangan terutamanya pada babak pertama permainan.

“Separuh masa pertama kami bermain dengan baik menentang lawan yang bagus, meletakkan tekanan kepada kami di bahagian belakang selain serangan balas pantas dan kreatif.

“Namun babak kedua berbeza kerana Malaysia melakukan terlalu banyak pertukaran dan 20 kali perlawanan terhenti menyebabkan kehilangan rentak.

“Perlawanan ini menghiburkan buat penonton. Kami mempamerkan corak permainan diingini.” Skuad negara menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah untuk menerajui jentera serangan pada babak pertama namun peluang paling hampir untuk meledak jaringan menerusi rembatan K Gurusamy m-22 disusuli percubaan kencang kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak m-39 yang dinafikan penjaga gol Mark Schwarzer.

Chelsea akan meneruskan Jelajah Asia dengan bertandang ke Indonesia menentang skuad republik itu, hari ini.