Mourinho bawa barisan terkuat Chelsea

TRIO Chelsea – John Terry, Frank Lampard dan Petr Cech disahkan antara bintang The Blues yang turut serta dalam Jelajah Asia Chelsea 2013.

Sebelum ini, pengendali Chelsea, Jose Mourinho telah berjanji untuk membawa barisan terbaiknya pada siri jelajah tersebut sebelum The Blues memulakan kempen baharu 2013/2014.

Selain ketiga-tiga tonggak Chelsea itu, Mourinho turut membariskan beberapa lagi bintang utama, antaranya Gary Cahill, Michael Essien, Eden Hazard, Ashley Cole, Branislav Ivanovic, Ramires selain dua muka baharu, Andre Schurrle, dan Marco van Ginkel.

Chelsea akan memulakan jelajah itu yang dinamakan ‘Here to Play, Here to Stay’ Asia 2013 di Bangkok, Thailand diikuti Kuala Lumpur dan Indonesia, Jakarta.

Bagaimanapun, tumpuan peminat bola sepak tanah air sudah pasti terarah kepada bintang-bintang Chelsea yang akan mula ‘berkampung’ di Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

Chelsea akan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Shah Alam pada 21 Julai dengan sepak mula dijadualkan bermula pukul 9.45 malam.

“Saya berasa amat gembira kerana Chelsea membawa barisan pemain bintang mereka pada jelajah kali ini.

“Ini adalah berita baik buat semua peminat Chelsea di Malaysia. Para peminat di Malaysia harus memastikan mereka tidak terlepas peluang ini.

“Saya berharap mereka membeli tiket perlawanan persahabatan itu lebih awal bagi mengelak terlepas menyaksikan aksi tersebut,” kata Pengarah Urusan ProEvents Sdn. Bhd., San Boon Wah.

Setakat ini lebih 30,000 tiket perlawanan persahabatan itu telah dijual dan kini ada baki 20,000 tiket lagi yang boleh dibeli peminat.

Tiket tersebut dijual pada harga RM58, RM88, RM108, RM308 dan RM408

Kunjungan The Blues ke Kuala Lumpur kali ini sekali lagi dibawakan khas oleh ProEvents dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). [Kosmo]