Menentang Chonburi pilihan yang betul – Rajagobal

Kelana Jaya: Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal tetap mempertahankan keputusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab dari Thailand Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Julai ini biarpun ada pihak menganggap ia pilihan ‘terdesak’ apabila tiada pasukan negara lain yang sudi menyahut cabaran Harimau Malaya.

Pengendali itu berkata, aksi dengan kelab dari liga utama negara jiran itu bakal menyajikan saingan kompetitif memandangkan mereka dibarisi enam pemain dari Brazil dan ramai pemain kebangsaan Thailand.

“Orang tidak tahu, mereka tidak ada inisiatif untuk mengambil tahu (kekuatan) kelab itu (Chonburi),” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat pertama skuad kebangsaan semalam.

Kenyataan Rajagobal itu jelas menunjukkan beliau berpuas hati dengan aksi pemanas badan sebelum menghadapi kelab gergasi Inggeris, Chelsea di Stadium Shah Alam pada 21 Julai ini biarpun hasrat asal mereka untuk mendapatkan perlawanan antarabangsa tidak kesampaian apabila Myanmar, Laos dan Kemboja tidak berminat.

Keputusan untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan bertaraf kelab menambahkan lagi kurang senang pemerhati dan peminat bola sepak selepas pihak pengurusan Harimau Malaya membatalkan aksi timbal balik dengan Singapura bulan lalu untuk memilih perlawanan dengan kelab bahagian dua Australia. [HMetro]