Mati dipukul kerana selamatkan rakan wanita

JOHOR BAHRU – Cubaan seorang pekerja logistik untuk mempertahankan dua teman wanita yang dibawa untuk minum dan berhibur di sebuah pub daripada dipikat sekumpulan lelaki mengundang padah apabila dia dipukul sampai mati dalam kejadian di Jalan Kebun Teh di sini semalam.

Kejadian pukul 1 pagi itu mengakibatkan Ong Kien Chong (gambar kecil), 27, mati kira-kira lima jam kemudian selepas diserang dengan kayu dan parang oleh tiga hingga empat samseng yang berang dengan tindakan mangsa.

Difahamkan, selain dua wanita itu, mangsa turut pergi ke pub tersebut bersama dua lagi rakan lelakinya. Kumpulan samseng itu pula minum bersebelahan dengan meja mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, samseng itu kemudian cuba mengurat dua wanita yang dibawa mangsa menyebabkan Kien Chong cuba menegahnya selepas terganggu dengan sikap suspek.

Katanya, ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dengan kumpulan samseng tersebut hingga berlarutan ke luar pub.

“Tanpa diduga, beberapa rakan samseng tersebut telah siap menunggu di luar sebelum membelasah mangsa dan dua rakannya menggunakan parang dan kayu. Dua wanita itu tidak diganggu.

“Salah seorang rakan mangsa dapat melarikan diri sejauh satu kilometer hingga ke sebuah hotel di Majidee di sini sebelum ditemui oleh orang ramai pada pukul 4 pagi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi di sini. [Kosmo]