Mat Yo buang pingat, Fandi merajuk

Bukit Jalil: Kecewa, sedih dan marah. Mungkin itu perasaan penyerang Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Talaha selepas pasukannya hanya bergelar naib juara Piala FA kelmarin.

Pemain terbaik negara itu antara tonggak utama Johor DT yang bermain bermati-matian sepanjang 90 minit sebelum ditewaskan bekas pasukannya, Kelantan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemuncak kekecewaan pemain dengan gelaran Mat Yo itu terbukti apabila dia membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk ke bilik persalinan.

Norshahrul juga enggan ditemuramah media selepas perlawanan berkenaan.

Marah, kecewa

Jika dinilai permainan penyerang kebangsaan itu, dia memang berhak untuk berasa marah dan kecewa kerana Johor DT mempunyai keupayaan untuk muncul juara, tetapi Norshahrul tidak banyak mendapat bantuan rakan sepasukan.

Namun paling mengecewakan Norshahrul apabila golnya pada minit ke-63 dibatalkan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang terlebih dulu meniup wisel kerana mendakwa penyerang itu mengasari Azizi Matt Rose.

Perlu sokongan

Bagi penyerang hebat seperti Norshahrul, kilauan trofi sudah tentu menjadi ganjaran paling bermakna dalam karier mereka, tetapi bola sepak bukan setakat kemahiran individu.

Dia memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk berfungsi sebagai perancang dan juga penjaring.

Sementara itu, Kerana terlalu kecewa dengan aksi buruk anak buahnya, jurulatih Johor Darul Takzim (DT) Fandi Ahmad enggan menemui pihak media selepas tamat perlawanan final Piala FA kelmarin.

Sebaliknya hanya penolong jurulatih Ismail Ibrahim tampil pada sidang media, itupun agak lewat kira-kira jam 11.55 malam selepas diarahkan oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Beliau (Fandi) kecewa kerana pemain tidak membalas balik kepercayaan yang diberikannya,” kata Ismail ketika ditemui sebagai mengulas keengganan pengendali Johor DT itu hadir pada media kelmarin.

Kekecewaan Fandi itu tidak sukar difahami jika melihat bagaimana barisan pemain bintang Harimau Selatan gagal melunaskan misi menjadi kelab pertama menjulang kejuaraan Piala FA selepas kecundang 1-0 di tangan juara bertahan Kelantan menerusi gol Mohd Nor Farhan Mohammad pada minit ke-15.

Jelas Johor DT gagal menyaingi Kelantan khususnya pada babak pertama dan tugas itu semakin sukar apabila terpaksa mengeluarkan Mohd Safee Sali dan Andrezinho yang mengalami kecederaan manakala Safiq Rahim pula hanya mampu bertahan sehingga separuh masa kedua.