Logo penaja penyebab Cisse tidak sertai jelajah Newcastle

LONDON – Papiss Cisse telah menarik diri daripada menyertai jelajah pra-musim Newcastle ke Portugal selepas enggan menyarung kemeja T yang tertera logo penaja kelab, Wonga atas dasar agama, menurut laporan BBC, kelmarin.

Penyerang Senegal yang beragama Islam itu memberitahu pegawai kelab bahawa dia tidak bersedia untuk mempromosi Wonga, sebuah firma yang menawarkan pinjaman jangka pendek dengan faedah yang tinggi.

Menurut undang-undang Islam, umatnya ditegah daripada membuat pinjaman atau pun membayar wang dengan kadar faedah. Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu menawarkan untuk memakai kemeja T tidak berjenama atau yang tertera salah satu logo amal.

Lain-lain pasukan yang telah turut berkompromi dengan pemain Islam mereka ialah pemain kriket Afrika Selatan, Hashim Amla yang dibenarkan menyarung baju tanpa logo penaja pasukan, Castle Lager kerana Islam melarang penganutnya mengambil alkohol.

Laporan BBC yang dipetik sebagai berkata, Cisse enggan memakai baju tajaan tersebut yang menyebabkan hubungannya dengan pasukan Liga Perdana Inggeris itu menjadi tegang.

Rakan sepasukan Cisse dalam Newcastle, Cheick Tiote dan Moussa Sissoko juga merupakan beragama Islam, tetapi telah memaklumkan kepada kelab yang mereka tiada masalah untuk memakai baju yang tertera dengan logo penaja tersebut. – AFP