LionsXII tidak perlukan pemain import

Johor Bahru: Walaupun hanya dibarisi pemain bawah 23 tahun dan kehadiran beberapa pemain senior, LionsXII mampu menidakkan penguasaan pasukan negeri dan kelab dari Malaysia apabila muncul juara Liga Super musim ini tanpa kelibat pemain import mahupun pemain naturalisasi.

Senario itu nyata memberi tamparan buat pasukan negeri dan kelab yang berbelanja besar bagi menguatkan barisan pemain masing-masing, namun terpaksa akur dengan pasukan dari Seberang Tambak Johor itu yang hanya baru dua musim beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

LionsXII nyata mengambil kesempatan tatkala beraksi di padang rumput mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan sepanjang aksi pasukan itu di Stadium Jalan Besar sekali gus mencipta sejarah tersendiri menjulang kejuaraan liga selepas kali terakhir meraih kejuaraan itu pada 1994 yang ketika itu dikenali sebagai Liga Perdana.

 “Kami hanya mempertaruhkan antara dua atau tiga pemain senior dan selebihnya pemain bawah 23 tahun yang menggalas tugas setiap aksi saingan liga yang begitu mencabar dan berliku pada musim ini dan saya lega apabila pemain muda itu dapat melaksanakan tugas dengan baik.

“Bagi saya tiada pasukan lemah pada saingan liga musim ini sebaliknya kesemua pasukan hebat malah kami terpaksa merombak pemain musim ini dan hampir kehilangan Shahril Ishak, Baihakki Khaizan dan Isa Halim yang pada awalnya mahu beraksi di Liga Thailand namun hasil pujukan mereka kekal bersama LionsXII.

“Itu dugaan paling perit dan semua kerja keras sejak Januari itu bagaikan terjawab sebaik tamat perlawanan, saya dan seluruh pengurusan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) teruja. Malah selepas 19 tahun muncul juara liga ketika itu, ternyata pembabitan semula dalam kancah Liga M sejak dua musim lalu amat berbaloi apabila berdepan pasukan terbaik Liga M,” katanya.

Mengulas kemenangan besar LionsXII menewaskan FELDA United 4-0, Sundramoorthy berkata, pemainnya pada babak pertama terlalu ghairah untuk mencipta jaringan, mengakibatkan beberapa percubaan yang seharusnya mampu diterjemah dengan jaringan dipersia-siakan.

“Kita terlepas banyak peluang terhidang dan apabila di bilik persalinan pada akhir babak pertama, saya arah pemain supaya lebih tenang dan tidak terlalu ghairah mencari gol dan ternyata ia berhasil.

“Tumpuan seterusnya pada saingan Piala Malaysia dan berharap undian kelak memihak kepada LionsXII. Jika musim lalu hanya mampu ke separuh akhir, tidak mustahil musim ini kami beraksi di final pula, namun semua bergantung kepada permainan konsisten sepanjang kempen itu,” kata Sundramoorthy. [HMetro]