Kes pengganas Kiram: Koperal Hassan diperintah bela diri

KOTA KINABALU 17 Julai – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan anggota polis, Koperal Hassan Ali Basari membela diri atas tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu, awal tahun ini.

Hakim P. Ravinthran memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam keputusannya, Hakim Ravinthran berpuas hati dengan bukti dikemukakan pihak pendakwa bahawa pintasan komunikasi dilakukan polis adalah dibenarkan.

Beliau juga berkata, pencerobohan pengganas berlaku sehingga menyebabkan kematian serta kecederaan dan tertuduh gagal memberitahu maklumat berhubung ancaman kegiatan pengganas itu.

“Tertuduh tidak memberitahu maklumat berkenaan kepada pihak atasan walaupun menghadiri mesyuarat terakhir sebelum ditangkap,” katanya yang menetapkan 24 hingga 26 Julai ini untuk tertuduh membela diri.

Hassan Ali memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pembelaan akan mengemukakan sekurang-kurangnya lima saksi.

Hassan Ali yang berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki, Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu antara Januari dan 3 Mac lalu.

Sepanjang perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Jun lalu, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan. [utusan]