Kekerapan Rajagobal bereksperimen makan diri

Kuala Lumpur: Keputusan pengendali negara, Datuk K Rajagobal untuk terus bereksperimen terhadap Harimau Malaya menjadi punca pemainnya gagal mewujudkan gandingan mantap sekali gus beraksi dengan hambar.

Tindakannya itu bukan satu keputusan yang bijak kerana bola sepak adalah permainan berpasukan yang memerlukan aspek keserasian antara pemain.

Inilah yang kena tanggung sekiranya jurulatih terus menerus mencuba pemain. Bola sepak adalah sukan yang dimainkan secara berpasukan dan bukan senang untuk pemain baru mendapatkan keserasian.” Mohamad Bakar, bekas jurulatih kebangsaan.

Apa yang jelas, sebelum menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, Ahad ini, Rajagobal sepatutnya sudah memiliki barisan terkuat untuk cuba memberikan saingan kepada pasukan lawan, bukannya kekal dengan pendirian mahu menguji pemain.

Malah, sikap Rajagobal yang sering mempertahankan aksi kurang meyakinkan anak buahnya termasuk seri 0-0 ketika menentang kelab Thailand, Chonburi FC amat dikesalkan.

Bekas jurulatih kebangsaan Mohamad Bakar tahun 1985, berkata jika jurulatih terus menerus mencuba pemain baru, mereka akan mengambil masa untuk mewujudkan keserasian.

Keserasian penting

“Inilah yang kena tanggung sekiranya jurulatih terus menerus mencuba pemain. Bola sepak adalah sukan yang dimainkan secara berpasukan dan bukan senang untuk pemain baru mendapatkan keserasian.

“Dalam mana-mana perlawanan bola sepak, kalau kita tidak mampu untuk menjaringkan gol, kita tidak boleh mencatatkan kemenangan, permainan cantik sekali pun tidak ada maknanya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohammad Bakar ketika persiapan WCQ 1986

Semalam, dilaporkan bahawa walaupun memperagakan aksi hambar dan gagal mencatat kemenangan ke atas kelab Chonburi FC, Rajagobal tetap gembira serta berpuas hati dengan prestasi pemain bimbingannya.

Mohamad berkata, pemain perlu berlatih dalam tempoh lama untuk mendapatkan keserasian antara mereka.

“Kalau kita lihat, pemain yang sudah biasa beraksi bersama dalam tempoh yang lama, mereka akan mudah memahami corak permainan rakan sepasukan.

“Bila berjaya mewujudkan keserasian, permainan mereka menjadi lebih mudah dan menyeronokkan sekali gus mampu memberi tekanan kepada pasukan lawan,” katanya. [BH]