Kejuaraan FAM-FAS dibatalkan

Kuala Lumpur: Perlawanan Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang diperkenalkan pertama kali tahun ini, masing-masing membabitkan dua wakil republik itu dan negara pada 12 Ogos serta 13 Ogos ini dibatalkan.

Sepak mula Piala Malaysia pula dikekalkan pada 20 Ogos kerana tarikh itu dianggap sesuai berikutan pemain kebangsaan pulang ke pasukan negeri dan kelab masing-masing pada 11 Ogos, sehari selepas Harimau Malaya bertemu Barcelona.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah, berkata, penganjur sebelum ini menetapkan perlawanan merebut kejuaraan itu antara Kelantan dan Tampines di Kota Bharu pada 12 Ogos manakala Tentera bertemu Warriors FC di Singapura, 13 Ogos.

Bagaimanapun, katanya pihak Singapura meminta supaya tarikh itu ditunda kepada 16 Ogos kerana pada 12 dan 13 Ogos, skuad kebangsaan negara itu dijadual bertemu Oman pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jalan Besar, 14 Ogos ini.

Tidak sesuai

“Selepas membuat penilaian, kami mendapati tarikh 16 Ogos pula tidak sesuai kerana Kelantan dan Tentera mahu mempersiapkan diri untuk perlawanan pertama Piala Malaysia pada 20 Ogos.

“Jadi akhirnya kami terpaksa membuat keputusan membatalkan kedua-dua perlawanan itu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya dan FAS akan berbincang bagi menetapkan tarikh baru bagi Kejuaraan FAM-FAS itu. – BH