Kanak-kanak mati ditinggalkan ibu dalam kereta

SUBANG JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai lemas di dalam kereta ibunya selepas ditinggalkan selama lebih lima jam, di sebuah sekolah, di sini, semalam.

Mangsa, Nawal Iris Shamsudin ditemui ibunya, Norzatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan kira-kira jam 5.30 petang sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Sebelum kejadian itu, Norzatusy Hazwa menghantar adiknya di Lapangan Terbang Subang sebelum terpaksa bergegas ke sekolahnya untuk menghadiri mesyuarat.

Beliau yang tergesa-gesa dikatakan tidak menyedari anaknya tidur di bangku belakang kereta Myvi miliknya.

NAWAL IRIS menemui ajal selepas lemas dalam kereta ibunya di Subang Jaya kelmarin.

Apabila kembali ke keretanya, Norzatusy Hazwa terkejut mendapati anaknya terbaring di bangku belakang dalam keadaan kebiruan dan kaku.

Menurut kakitangan sekolah yang enggan dikenali, guru wanita yang baru selesai mengajar pada sesi petang itu terus meraung apabila menemui anaknya yang sudah kebiru-biruan, tidak lagi bergerak dan pakaiannya dibasahi peluh sebaik membuka pintu kereta Myvi yang berwarna kuning.

“Sebelum itu tiada siapa tahu yang anaknya berada di tempat duduk belakang kereta. Guru wanita itu meraung kuat hingga mengejutkan kami dan apabila dilihat, kami dapati anaknya sudah kaku dalam keadaan basah kuyup dipercayai berpeluh akibat cuaca yang panas terik,” ceritanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.