Kami bersedia bertemu Chelsea- Rajagobal

JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal menegaskan bahawa anak-anak buahnya sudah bersedia berentap dengan salah satu kelab terbaik di Eropah, Chelsea pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Begitu pun, Rajagobal mengingatkan para peminat Harimau Malaya agar jangan terlalu mengharap kecemerlangan yang dipamerkan pada tahun 2011 apabila tewas tipis 0-1 kepada Chelsea akan menjelma sekali lagi.

Ini kerana katanya, skuad yang akan ditampilkan kali ini akan membawa pemain dan jurulatih yang berlainan, begitu juga dengan pasukan Chelsea.

“Kami akan turun dengan barisan terbaik dan akan memberi tentangan sengit kepada Chelsea.

“Apa yang penting saya mahu mereka mempersembahkan permainan terhebat serta yakin kepada diri sendiri.

“Tidak dinafikan memang kita semua main mahukan kemenangan tetapi kita perlu terima hakikat sejauh mana kekuatan lawan,” katanya selepas sidang media pasukan Chelsea sempena Jelajah Asia 2013 di sini, semalam.

Beliau menambah, semestinya Chelsea mahu berikan satu hiburan terbaik kepada peminat mereka di sini namun beliau mengharapkan para pemain boleh mengambil kesempatan dan cuba dapatkan satu penghormatan dari pasukan lawan.

“Perlawanan ini juga boleh membantu kami untuk melakukan persiapan kelayakan Piala Asia 2015 dan saya harapkan semua pemain dapat mempelajari sesuatu nanti,” katanya lagi.

Pada masa sama, Rajagobal turut menggesa anak didiknya menggunakan perlawanan menentang Chelsea nanti sebagai medan terbaik untuk meningkatkan skil permainan masing-masing.

“Setiap kali kita bermain dengan mana-mana pasukan, kita telah menetapkan objektif untuk tidak hanya menghiburkan penonton yang hadir ke stadium sebaliknya memberi persembahan terbaik.

“Kalau boleh, saya mahu mereka belajar apa-apa yang memberi manfaat daripada pemain Chelsea untuk membantu persembahan pasukan kita pada masa akan datang,” jelasnya.

Untuk rekod, ini merupakan lawatan keempat Chelsea ke Malaysia semenjak tahun 2003 tetapi kehadiran Chelsea kali ini cukup berbeza kerana membawa jurulatih yang paling berjaya dalam sejarah kelab bola sepak itu iaitu Jose Mourinho.

Mengulas mengenai jurulatih yang berasal dari Portugal itu, Rajagobal memberitahu, beliau menghormati kemampuan Jose Mourinho yang dianggapnya sebagai antara pengurus bola sepak paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia.

“Apabila beliau berhijrah ke mana-mana pasukan, beliau berjaya membimbing pasukan itu untuk muncul juara dan beliau sentiasa mempunyai barisan pemain terbaik apabila beliau melatih sesebuah pasukan baru,” katanya. [SH]