Kam Fook ‘Pengkhianat’ yang pulang ke pentas Piala Malaysia

DI saat penggiat bola sepak yang berhimpun di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia Sabtu lalu menanti penuh debar undian Piala Malaysia 2013, mata penulis tertumpu kepada tiga individu menemani legenda Datuk Soh Chin Aun.

Jika tidak nama mereka dipelawa mengambil bahagian dalam mencabut undi itu, kebarangkalian Wong Choon Wah, Hamzah Hussin dan Wong Kam Fook, berlalu pergi tanpa dikenali sesiapapun, cukup tinggi.

Bersama Chin Aun, tiga individu ini menganggotai skuad bimbingan Jalil Che Din merintis laluan ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

Kehadiran mereka menaiki pentas undian Piala Malaysia musim ini adalah atas jemputan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tentunya Hamidin berpegang kepada falsafah tanpa orang lama, tiadalah orang baru. Jarang-jarang sekali FAM menghulurkan penghargaan buat bekas pemain.

Apalagi keempat-empatnya antara nama yang mewarnai pentas Piala Malaysia pada dekad 70-an dan awal 80-an.

Wong Kam Fook yang lama bermastautin di Hong Kong dan China, terharu dengan jemputan FAM.

“Saya tidak menyangka diberi penghormatan ini. Saya anggap diri saya pengkhianat kerana membawa diri ke Hong Kong tidak lama selepas Sukan Olimpik Munich ketika saya di puncak prestasi,” katanya.

Kam Fook meninggalkan tanah air ketika kepakarannya sebagai antara penjaga gol terbaik sezaman Chow Chee Keong, Wong Hee Kok dan Lim Fung Kee benar-benar ditagih.

Demi memburu kehidupan lebih terjamin, dia meletak jawatan di Kinta Electrical Distribution (KED), anak syarikat Perak Hydro, bagi menjadi seorang professional yang menyarung jersi kelab seperti Seiko, Rangers, South China dan Caroline Hill dari 1972 hingga 1984.

Kembalinya Kam Fook ke tanah air pada 2011 demi menyalakan satu impian. Anaknya Tse Yang, 19 tahun, sedang digilap untuk mengikut jejak langkahnya.

Dengan ketinggian melebihi 6 kaki, Tse Yang memiliki ciri-ciri dan asas-asas penjaga gol.

“Saya tidak mahu cerita banyak pasal anak saya. Biarlah pakar-pakar yang menentukan sama ada dia ada bakat untuk dipupuk,” kata Kam Fook.

Ketika bersama skuad olimpik 1972

Berusia 64 tahun, Kam Fook diulit nostalgia apabila bercakap mengenai Piala Malaysia. Dia membantu Perak muncul juara pada 1970, hasil dua jaringan Baharin Khamis selang dua minit menewaskan Kelantan 2-0.

“Bagus majlis undian diadakan. Dahulu tidak ada majlis undian besar-besaran. Pemain pun tidak dijemput lengkap dengan seragam untuk mengambil bahagian dalam apa-apa pelancaran.

“Bola sepak nampaknya maju dari segi komersial tetapi mutu permainan tidak meningkat seperti diharapkan,” tambah Kam Fook.

Harapan peminat bola sepak melihat saingan Piala Malaysia bermutu tinggi adalah setinggi gunung.

Kumpulan A harus mengangkat juara 32 kali Selangor dan naib juara 2012 ATM sebagai pilihan manakala Sime Darby dan Johor pelengkap senarai.

PKNS, T-Team dan Felda United akan mencabar JDT dalam kumpulan B yang menghimpunkan empat kelab. Kumpulan C menampilkan juara bertahan dan tiga lagi negeri yang pernah muncul juara, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang.

Negeri asal Kam Fook Perak harus berazam menafikan ruang buat juara Liga Super, Lions XII, Sarawak dan Kedah dalam Kumpulan D.

Kam Fook pula tentu mengharapkan legasi namanya kekal mekar menerusi Tse Yang.

Barangkali itu isi hatinya bagi menghapus ‘dosa’ silamnya. Begitulah magisnya bola sepak. – Utusan