Kalah 5-0 dengan skuad Jepun pun sukar saya terima!

Kuala Lumpur: Kalau kalah dengan skuad kebangsaan Jepun 0-5 susah untuk saya terima, inikan pula dengan kelab kedua tercorot mereka.”

Itu nada kekesalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong susulan kekalahan besar skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang kini berada di negara Matahari Terbit itu untuk aksi persahabatan menentang kelab di sana.

Zolkples jelas kecewa dengan nasib menimpa Harimau Malaya yang pernah menjulang Piala AFF pada 2010 selain muncul pemenang pingat emas Sukan SEA.

“Sudah berapa ramai Rajagobal mencuba pemain namun beliau masih menaruh kepercayaan kepada kesebelasan pemain yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita awal pagi semalam.

Selepas Australia, Rajagobal bertandang ke Jepun sebagai lokasi terbaru yang dilapor sebagai persiapan menghadapi perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain pada Oktober ini, kecundang 0-5 kepada Shonan Bellmare, beberapa hari selepas kecundang 0-2 kepada kelab pertengahan Liga Jepun (J-League), Shimizu S Pulse.

Mereka akan meneruskan aksi persahabatan menentang kelab divisyen dua Liga J, Tokyo Verdy hari ini sebelum kembali ke tanah air bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang FC Barcelona pada 10 Ogos ini.

Zolkples ketika ditanya mengenai keperluan menukar jurulatih berkata: “Saya tidak tahu tapi saya percaya dengan pemain seperti ini (yang ada dalam skuad kebangsaan sekarang) kita tidak akan pergi jauh.

“Kalau FAM hendak melantik jurulatih baru, individu itu perlu diberikan kebebasan untuk memilih pemain yang dikehendakinya selain jurulatih berkenaan perlulah berkaliber namun saya tidak yakin akan berlaku banyak perubahan.

“Anda boleh bagi (jurulatih kebangsaan) kepada Jose Mourinho (pengendali Chelsea) dan Sir Alex Ferguson (bekas pengurus Manchester United) sekalipun, berapa banyak yang boleh dilakukan mereka, mungkin ranking hanya naik sedikit hingga kedudukan 140 dunia.

“Pada saya bukan saja aspek jurulatih malah perkara lain seperti program latihan, pendedahan dan sebagainya perlu dinilai semula secara menyeluruh.” – HMetro