Johor DT buru jurulatih La Liga

JOHOR BAHRU – Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) melaungkan amaran awal untuk mempersiap dan memperkukuhkan skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagi menjayakan usaha tersebut, PBNJ membuat keputusan mendapatkan khidmat pengurus pasukan yang baharu dari Sepanyol.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pengurus baharu untuk Johor Darul Takzim (JDT) itu merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid.

“Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil oleh PBNJ untuk memperkukuhkan lagi pasukan kita bagi saingan untuk musim depan.

“Saudara Fandi Ahmad juga akan terus bersama pasukan JDT sebagai penolong jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook Johor Fan Club di sini semalam.

Difahamkan, individu yang dikaitkan untuk menerajui pasukan JDT musim depan ialah Cesar Ferrando Jimenez selain PBNJ sedang berunding dengan Juan Manuel Lillo Diez yang merupakan pereka formasi 4-2-3-1 dan mentor kepada Pep Guardiola.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor berkata, selari dengan prinsip PBNJ yang akan cuba membawa nama besar dalam industri bola sepak untuk bersama pasukan, pihaknya semakin hampir mencapai persetujuan menandatangani Pablo Aimar.

Tambahnya, pihak pengurusan turut mendapat persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi JDT bagi musim akan datang selain dalam proses rundingan dengan beberapa pemain lagi bagi tujuan yang sama.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut menegaskan bahawa sumber kewangan PBNJ adalah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dirinya serta rangkaian penaja yang melabur di negeri ini dan tidak melibatkan wang rakyat.

“Oleh itu, kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas, adalah lebih baik berdiam diri daripada menjatuhkan maruah diri sendiri.” katanya.