Jepun menanti Harimau Muda di suku akhir

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee akui cabaran yang lebih sukar menanti pasukannya apabila bertemu Jepun dalam saingan suku akhir Universiade pada hari Jumaat ini.

Harimau Muda A berjaya mara ke suku akhir temasya Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) setelah Itali hanya mencatat kemenangan 1-0 kepada Britain dalam perlawanan ketiga Kumpulan C malam tadi.

Keputusan itu membolehkan pasukan bimbingan Ong Kim Swee muncul naib juara kumpulan C di belakang Britain selepas mempunyai kelebihan jaringan gol bagi mengiringi pasukan itu ke suku akhir.

Ketiga-tiga pasukan terikat dengan tiga mata namun perbezaan jaringan gol telah membezakan mereka. Harimau Muda sebelum ini memulakan saingan dengan baik apabila menewaskan Itali 2-0 sebelum tunduk 0-2 kepada Great Britain pada aksi kedua.

Ong Kim Swee bangga dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya ke suku akhir walaupun tempang tanpa pemain-pemain tonggak.

“Satu pencapaian yang baik kami telah berjaya ke kelompok lapan terbaik seperti yang kami sasarkan pada awalnya. Ini juga satu petanda yang positif dimana secara tidak langsung, kejayaan kami dapat membuka mata negara-negara lain tentang kemampuan pasukan remaja Malaysia.

Mengikut ranking, Malaysia jauh di belakang negara-negara lain yang bersaing dalam kejohanan ini. Jadi ini sesuatu yang membanggakan” kata Kim Swee kepada FOX Sports.

Di pusingan suku akhir, Harimau Muda terpaksa menghadapi laluan lebih berliku bertemu juara Universiade 2011, Jepun yang memenangi semua perlawanan peringkat Kumpulan B di mana mereka menewaskan Turki 4-0, Ukraine 4-0 dan Uruguay 1-0.

Kim Swee yang menyaksikan perlawanan Jepun menentang Uruguay semalam kagum dengan aksi Jepun yang ternyata jauh lebih baik.

“Jepun telah layak ke suku akhir sebelum mereka beraksi menentang Uruguay semalam. Jadi kemungkinan mereka hanya menurunkan pemain simpanan. Tetapi mereka tetap beraksi dengan sangat baik tanpa membenarkan Uruguay memegang bola. Gaya permainan sama seperti pasukan Olimpik Jepun.

“Kami perlu realistik apabila bertemu Jepun. Bukan kami sudah mengaku kalah sebelum bertanding, tetapi kita perlu realistik kerana seperti yang kita tahu, Jepun berada di tahap yang lebih tinggi daripada kita dan bagi saya mereka adalah pasukan pilihan untuk menjuarai Universiade tahun ini,” tambahnya lagi.

Harimau Muda hanya memiliki 13 pemain yang boleh beraksi dalam saingan suku akhir selepas kehilangan Nazirul Naim dan Wan Ahmad Amerzafran yang cedera sementara Wan Zaharulnizam dan Syahrul Azwari digantung perlawanan.

“Bukan sesuatu yang ideal untuk memiliki skuad yang tempang menghadapi Jepun. Kami perlu menggunakan pemain yang ada. Bukannya selalu kami dapat beraksi dengan Jepun. Apa keputusannya nanti, perlawanan itu adalah satu pendedahan dan pengalaman yang baik untuk pasukan,” jelasnya.

Jadual suku akhir

France vs Republic Ireland
Japan vs MALAYSIA
Russia vs Canada
Great Britain vs Ukraine

Perlawanan suku akhir, Harimau Muda lawan Jepun akan berlangsung pada 12 Julai pada jam 9 malam waktu Malaysia. [Foxsports]