Isteri yang dilarikan berjaya dibawa pulang

Sepang: “Saya belum fikir apa-apa persiapan untuk Aidilfitri sebaliknya mahu memulihkannya (isteri) terlebih dulu,” kata Mohd Riduan Abd Razak, 43, suami kepada Nuridayu Aziz, 34, yang dilarikan lelaki warga Indonesia ke Surabaya, Jawa Timur pada 22 Jun lalu.

Katanya, ketika ini isterinya belum pulih sepenuhnya dan tidak dapat menceritakan dengan lebih lanjut mengenai kejadian menimpa.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik cari gali di sebuah syarikat petroleum di Qatar bagi memberi tumpuan penuh untuk memulihkan keadaan isterinya itu.

“Saya kena berehat dulu buat sementara waktu sebelum merancang untuk mencari pekerjaan di Malaysia supaya boleh memberi tumpuan kepada isteri dan anak-anak.

“Buat masa ini, dia (isteri) hanya mahu bertemu tiga anak kami iaitu Nor Athirah, 10; Najihah, 7, dan Mohd Hizal Hamzi, 6, yang terpisah sejak 26 hari lalu,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Mangsa yang hilang sejak 22 Jun lalu berjaya dikesan minggu lalu hasil maklumat pelbagai pihak selepas disembunyikan di sebuah rumah di kawasan pedalaman, Rambipuji yang terletak di daerah Jember kira-kira enam jam perjalanan dari Surabaya.

Menurut Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, mangsa selamat dibawa pulang selepas pihaknya menghantar pasukan yang diketuai Setiausaha Agung, Abdul Khalid Chairul dan Mohd. Riduan, 34, ke sana sejak seminggu lalu.

“Ketika kami jumpa dia keadaannya seperti tidak sedarkan diri malah langsung tidak mengenali suaminya dan kita mengambil masa tiga hari untuk mengubati dia dengan menggunakan kaedah rawatan Islam.

“Sekarang keadaannya bertambah baik biar pun tidak pulih sepenuhnya, kita dimaklumkan dia terkena ilmu sihir yang dilakukan oleh penculiknya,” katanya ketika menyambut kepulangan Pasukan Misi KP1M dan pasangan itu dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.

Menurut Abdul Azeez, usaha tersebut merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Nur Idayu dibawa pulang dengan selamat ke pangkuan keluarganya.

Beliau sehubungan itu menasihati semua pihak terutama isteri yang suaminya bekerja jauh agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan pujuk rayu orang luar.

Katanya, kes tersebut antara contoh pekerja asing sanggup berbuat apa sahaja untuk melarikan anak gadis atau isteri orang sekiranya terleka.

“Saya juga mohon pihak polis supaya menyiasat kes ini sebaik Nur Idayu sembuh supaya dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan larikan isteri orang dan ini tidak baik untuk institusi keluarga,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Riduan ketika ditemui mengucap ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan isterinya.

Katanya, dia tidak mempunyai sebarang perancangan buat masa ini dan hanya mahu berehat dan mengubati isterinya sehingga sembuh.

“Saya hanya mahu pulang dan berjumpa dengan anak-anak di kampung dan mencari kerja di Malaysia selepas terpaksa berhenti kerja di Qatar baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu di KUANTAN, kepulangan Nur Idayu di rumah bapanya di Felda Bukit Sagu 2 disambut pilu dan tangisan oleh ahli keluarga wanita tersebut terutama oleh tiga anaknya.

Nur Idayu dan suaminya tiba di rumah bapanya itu kira-kira pukul 6.15 petang hari ini namun enggan memberikan sebarang komen.

One Reply to “Isteri yang dilarikan berjaya dibawa pulang”

Comments are closed.