Ibu menagih dadah didenda RM2,000

KOTA BHARU – Seorang ibu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah menagih dadah, tahun lalu.

Denda diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Azizah Meli, 45, dari Kok Lanas, Ketereh.

Dia mengaku bersalah didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine di balai polis Kok Lanas di sini, pada jam 2.30 pagi, 4 September.

Pada prosiding kelmarin, tertuduh merayu supaya dendanya dikurangkan berikutan dia mempunyai tanggungan anak yang ramai.

“Saya mengaku silap saya. Saya mohon Yang Arif kurangkan denda sebab saya sekarang sudah tidak bekerja. Ini kali kedua saya ditahan. Suami juga ditahan atas kesalahan sama,” katanya.

Sejurus rayuan itu, Nik Habri kemudian mengenakan denda itu dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal jelas denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Mad Zukri. [SH]