[Highlight] Harimau Malaya hanya mampu seri

KUALA LUMPUR 17 Julai – Skuad Harimau Malaya yang bakal berhadapan dengan Chelsea Ahad ini tampil penuh longlai apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu kelab dari Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan malam tadi.

Turun tanpa kelibat pemain utama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali, ternyata anak-anak buah Datuk K.Rajagobal gagal mencipta sebarang jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun menguasai bola dan menciptakan peluang namun penyerang negara gagal memanafaatkan peluang yang ada.

Gandingan serangan Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub tidak mampu memikul tanggungjawab dalam usaha merencana sebarang peluang dan mencipta sebarang gol.

Ini sekali gus memberikan gambaran sukar bagi skuad Harimau Malaya untuk berhadapan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea Ahad ini.

Jika keputusan perlawanan seri 0-0 dan persembahan yang disajikan ketika menentang kelab Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan penilaian, ternyata Harimau Malaya belum bersedia bagi menghadapi Chelsea pada Ahad ini.

Gaya permainan yang diperagakan oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal membuktikan masih banyak kerja rumah perlu dilakukan oleh pengendali berusia 56 tahun itu dalam masa beberapa hari yang tinggal.

Di hadapan 200 penonton setia Harimau Malaya yang hadir, cuma aksi barisan pertahanan negara yang diketuai oleh Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak boleh diberikan pujian apabila bermain dengan penuh disiplin sepanjang 90 minit perlawanan.

Selain itu, barisan serangan negara dilihat bagaikan kekeringan idea ekoran ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dengan Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub tidak mampu memikul tanggungjawab dalam usaha merencana sebarang peluang dan mencipta sebarang gol

Farizal Marlias menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama sementara pertahanan Kelantan, Azizi Mat Rose yang kali terakhir menyarung jersi negara pada tahun 2006 meraih perhatian Rajagobal untuk digandingkan bersama ketua pasukan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak di barisan pertahanan.

Biarpun Safee Sali ada dimasukkan pada empat minit terakhir permainan, kehadirannya tidak memberikan sebarang impak sementara Junior Eldstal meraih debut pertama apabila dimasukkan pada minit ke-78.