Harimau Muda harap Itali tewas

Kuala Lumpur: Nasib Harimau Muda A untuk layak secara automatik ke suku akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan Russia kini bergantung kepada keputusan perlawanan antara Great Britain dan Itali hari ini.

Melihat kepada kedudukan terkini dalam Kumpulan C, peluang skuad kendalian Ong Kim Swee itu masih cerah, namun ia bakal musnah jika Itali yang gagal memungut sebarang mata setakat ini, menewaskan Great Britain dengan jaringan 3-1 sekali gus menyebabkan skuad negara tersingkir ke tempat ketiga kumpulan.

Malaysia yang menewaskan Itali 2-0 pada perlawanan pembukaan dan kini berkongsi tiga mata dengan pendahulu kumpulan Great Britain yang mengalahkan mereka juga dengan keputusan sama kelmarin.

Bagaimanapun Kim Swee tetap yakin peluang anak buahnya untuk melakar sejarah melepasi halangan peringkat kumpulan tetap ada biarpun mengakui sedikit bimbang jika Itali dan Great Britain membuat ‘pakatan’ untuk menyingkirkan Malaysia selepas kumpulan itu hanya memiliki tiga pasukan apabila Algeria menarik diri.

Namun jika skuad negara gagal menduduki dua tempat teratas sekalipun, mereka masih berpeluang merebut tiket ke suku akhir dengan jalan lebih sukar menerusi pusingan losers pool. [HMetro]