FAM patut segera singkirkan Rajagobal: Khalid

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mempunyai pendirian yang jelas kerana bola sepak negara tidak akan meningkat jika mereka terus membiarkan Datuk K Rajagobal dengan pendekatan ranking skuad negara tidak penting.

Pendapat disuarakan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali itu nyata senada dengan teguran Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap FAM yang membiarkan saja Rajagobal memperlekehkan soal ranking biarpun ia dianggap penanda aras kemajuan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Khalid berkata, Khairy memberikan pandangan lebih luas mengenai keutamaan yang perlu diberikan perhatian oleh FAM dan ranking salah satu yang perlu dipertingkatkan kerana ia mencerminkan perkembangan bola sepak negara.

“Kenyataan Khairy itu betul yang tak faham di sini adalah Rajagobal. FAM perlu tanya Rajagobal sama ada ranking itu penting atau tidak. Sudah cukup skuad negara mengadakan perlawanan dengan berstatus kelab yang tidak memberi mata untuk baiki ranking negara.

“Kalau tidak ada pasukan negara luar mahu bermain dengan Harimau Malaya, lebih elok Rajagobal hanya melatih saja pasukannya daripada kalah dan diaib kelab,” katanya yang pernah menyarung jersi kebangsaan selama sembilan tahun.

Menerusi laporan Arena Metro Khairy berkata, skuad kebangsaan buru ranking terbaik dunia kerana itu adalah penilaian sebenar atau penanda aras pencapaian dan menganggap tindakan memperlekeh soal ranking satu perkara yang tidak produktif.

Malaysia kini di ranking ke-159 dunia dan tidak menunjukkan peningkatan berikutan tindakan pengurusan skuad kebangsaan yang lebih gemar mengadakan perlawanan dengan kelab berbanding aksi antrabangsa kelas A termasuk membatalkan dua perlawanan persahabatan dengan Singapura bulan lalu.

Lima perlawanan terakhir Harimau Malaya hanyalah menentang pasukan kelab dan terbaru tumpas 1-4 kepada kelab gergasi Inggeris Chelsea yang dianggap perlawanan penting bagi persiapan Rajagobal membentuk skuad mantap menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2014 dengan Bahrain, Oktober ini.

Sementara itu Khalid menyokong kenyataan Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Rajagobal menghentikan eksperimen sebaliknya sudah mula membariskan skuad sebenar.

“Saya hampa apabila hingga kini Rajagobal masih tercari-cari skuad utama untuk berdepan Bahrain. Alasan diberikan tetap sama dan saya rasa semua pihak sudah bosan dengan alasan mahu menguji pemain dalam setiap perlawanan persahabatan.

“Kalau Rajagobal terus dengan alasan ini, rasanya FAM perlu gugurkan dia dan cari jurulatih luar negara,” tegasnya. [HMetro]