FAM belum sedia tamatkan khidmat Raja

Kuantan: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata badan induk itu tidak akan menamatkan khidmat ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dalam tempoh terdekat ini.

Tengku Abdullah berkata, Rajagobal masih ada tanggungjawab menyelesaikan tugasnya membimbing Harimau Malaya dalam saingan pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 dan kejohanan itu juga adalah Indeks Prestasi Utama (KPI) jurulatih berkenaan.

Tak mahu jejas konsentrasi

“Biar dia habiskan perjuangan sebagai jurulatih Harimau Malaya kerana dia tahu apa harapannya.

“Saya harap dia dapat tunaikan apa saja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang pasal perkara lain.

“Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana kelayakan Piala Asia adalah KPI dia,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh tujuh badan korporat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya desakan peminat bola sepak tanah air yang mahukan khidmat Rajagobal ditamatkan kerana gagal meningkatkan pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi. [BH]