FAM bakal perkenal pengadil profesional

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu mutu pengadilan bola sepak negara terus berada di takuk lama apabila bakal memperkenalkan pengadil profesional sepenuh masa.

Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skim pengadil profesional itu bakal ditawarkan kepada pengadil tempatan berpengalaman ataupun melatih golongan muda yang berminat untuk menjadi pengadil.

“Kami menerima banyak pandangan daripada persatuan bola sepak negeri supaya mewujudkan pengadil profesional sepenuh masa. Saya fikir ini cadangan yang baik kerana sudah dipraktikkan beberapa negara. Walaupun kita mempunyai pengadil profesional, pengadil sedia ada tetap akan kita kekalkan.

“Sebagai permulaan, kita mungkin memperkenalkan 10 pengadil profesional, membabitkan pengadil sedia ada yang bakal menerima latihan lanjutan ataupun kita melatih pengadil baru sekitar usia 22 tahun untuk digilap sebagai profesional,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

 Setakat ini lima negara sudah menggunakan pengadil profesional iaitu England, Perancis, Itali, Mexico dan Brazil.