England buat peluang Malaysia menjadi sukar

IMPIAN skuad hoki negara untuk mengungguli kedudukan teratas dalam Kumpulan A pada kempen Liga Hoki Dunia tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada England di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.

Skuad bimbingan Paul Revington itu berdepan misi sukar untuk mara ke separuh akhir apabila dijadualkan menentang pasukan No. 1 dunia, Jerman malam ini.

Aksi suku akhir lain menyaksikan Argentina bertemu Afrika Selatan, England berdepan Jepun dan Pakistan menentang Korea.

Skuad negara yang perlu seri dengan England untuk muncul juara kumpulan, sekali gus memudahkan laluan untuk ke pusingan separuh akhir.

Berdasarkan keputusan semalam, Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan mengumpul 4 mata, manakala England di tangga teratas selepas mengumpul lima mata.

Pada aksi tersebut, skuad negara dikejutkan apabila England membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti Richard Smith.

Tidak menyerah kalah, skuad negara menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian juga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil.

Masuk babak kedua, permainan bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan, namun kelebihan berpihak kepada England apabila memperoleh gol kemenangan hasil jaringan padang Barry Middleton pada minit ke-57.

Bagaimanapun, Revington mengakui permainan anak buahnya sedikit terjejas selepas berhempas pulas ketika menewaskan Afrika Selatan Ahad lalu.

“Perlawanan menentang Afrika Selatan agak mencabar dengan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan dan bertahan. Saya rasa, ia sedikit sebanyak menjejaskan kualiti permainan kami hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan semalam.

Sementara itu, Argentina muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan Korea Selatan 3-0.
Argentina dan Jerman masing-masing mengumpul tujuh mata, namun kelebihan gol memihak kepada Argentina untuk terus berada di tangga teratas Kumpulan A.

Pada aksi semalam, Argentina gagal menembus benteng pertahanan Korea Selatan pada babak pertama namun bangkit untuk memperoleh tiga gol pada babak kedua.

Gol-gol Argentina diperoleh menerusi Facundo Callioni pada minit ke-55, Matias Paredes (57) dan Gonzalo Peillat (68).

Jerman sebelum itu menewaskan Jepun 3-1. Jepun dan Korea Selatan masing-masing menamatkan saingan Kumpulan A dengan memperoleh satu mata.

Pada aksi terakhir Kumpulan B semalam, Pakistan menewaskan Afrika Selatan 6-2.

Highlights