Empat orang ditanduk lembu di Festival San Fermin

PAMPLONA – Empat orang telah ditanduk dalam larian lembu keenam sempena Festival San Fermin di Sepanyol semalam.

Kejadian tersebut mencetuskan situasi panik di beberapa batang jalan di bandar yang terletak di Sepanyol itu.

Situasi tegang memuncak apabila seekor lembu jantan menanduk dan menyerang seorang lelaki selama hampir 30 saat.

Lembu tersebut berterusan menyerang lelaki berkenaan walaupun cuba dihalang oleh beberapa pelari lain yang menarik ekor haiwan itu.

Mereka kemudian menarik kaki mangsa untuk menjauhkannya daripada lembu tersebut.

Pengarah Hospital Navarra, Javier Sesma berkata, seramai empat orang cedera akibat ditanduk lembu semalam, manakala tiga lagi mengalami kecederaan lain.

Insiden peserta ditanduk lembu adalah yang pertama dalam larian lembu pada tahun ini.

Acara itu menyaksikan para peserta berlari sambil dikejar oleh enam ekor lembu jantan menuju ke sebuah gelanggang di sini. – AP