Ejen Suarez rayu tawaran RM193 juta

LONDON – Luis Suarez memberi tekanan baharu kepada Liverpool apabila ejennya menggesa mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan penyerang kontroversi itu agar mengemukakan tawaran 40 juta pound (RM193 juta) untuk membolehkan klausa dalam kontraknya dibuka.

Sehingga kini, Liverpool berpegang kepada klausa yang terdapat dalam kontrak pemain itu bahawa mereka hanya bersedia mendengar tawaran bernilai 40 juta pound dan ke atas untuk membuka kepada sebarang rundingan.

Begitupun, The Reds berkata, jumlah tersebut hanya untuk mengaktifkan klausa berkenaan sedangkan mereka menganggarkan nilai penyerang Uruguay itu adalah sekitar 50 juta pound (RM241.2 juta).

Malah, pihak pengurusan Liverpool juga menegaskan bersedia mendengar tawaran tidak semestinya membawa kepada penjualan penjaring terbanyak mereka itu.

Ejen Suarez, Pere Guardiola yang juga abang kepada pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola bagaimanapun percaya tawaran 40 juta pound mampu menguji Liverpool.

Kenyataan Guardiola itu adalah tekanan terbaharu yang dilancarkan oleh kem Suarez, yang bakal terlepas enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim depan akibat penggantungan.

Pemain berusia 26 tahun itu pada hujung musim lalu telah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Anfield tetapi fokusnya lebih terarah kepada menyertai gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid.

Walaupun Real tidak pernah menyembunyikan minat untuk membawa masuk pemain tersebut, namun Arsenal menjadi kelab pertama mengemukakan tawaran rasmi untuk mendapatkan Suarez.

Tawaran pertama The Gunners, 30 juta pound (RM144.75 juta) minggu lalu ditolak mentah-mentah oleh Liverpool dan minggu ini mereka telah meningkatkan bidaan kepada 35 juta pound (RM169 juta).

Kini, semuanya terpulang kepada Liverpool sama ada mahu melepaskan pemain itu atau tidak sekiranya ada kelab yang bersedia membuka klausa rundingan dengan mengemukakan tawaran minimum 40 juta pound.

Sementara itu, ketika Suarez tetap dengan pendirian mahu meninggalkan Anfield, pemain sayap The Reds, Stewart Downing pula mahu kekal dalam pasukan itu.

West Ham menyuarakan minat untuk membeli bintang England berusia 28 tahun itu, tetapi Downing lebih suka jika dapat membuktikan kepada peminat The Reds bahawa dia mampu meneruskan prestasi cemerlang yang dipamerkan pada penghujung musim lalu. – AGENSI